15,000 keahlian Amanah di Sabah sedang dalam proses: Mat Sabu

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (Amanah) yakin jumlah keahlian parti itu akan bertambah berikutan sambutan menggalakkan rakyat selepas pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi pilihan raya umum lalu.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata sambutan menggalakkan itu tidak terkecuali di Sabah apabila ketika ini parti itu sedang memproses permohonan keahlian seramai 15,000 orang dari seluruh negeri itu.

Presiden Amanah Mohammad Sabu pada sidang media selepas menghadiri Bicara Mat Sabu di Dewan MPWS Sembulan, malam tadi. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Keahlian daripada segi yuran dan sebagainya kini dalam proses. Malam ini kita juga bakal menerima borang permohonan keahlian baharu di Sabah.

“Nampaknya Amanah semakin mendapat sambutan di Sabah termasuk daripada bekas ahli Barisan Nasional (BN),” katanya ketika ditemui media selepas Program Bicara Bersama Presiden Amanah di Dewan MPWS, Sembulan di sini malam ini.

Dalam majlis itu Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertahanan turut menerima borang keahlian daripada 3,000 orang daripada kawasan Kota Kinabalu.

Ditanya mengenai kemasukan tujuh bekas pemimpin UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menjadikan pertambahan kerusi bagi Bersatu, beliau berkata perkara itu tidak menjadi masalah.

Menurut beliau apa yang penting ialah kekuatan PH dapat diperkukuhkan terutama sekali sokongan daripada orang-orang Melayu khususnya di Semenanjung.

Jelas beliau lagi Pengerusi PH iaitu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed juga tidak menjanjikan apa-apa jawatan kepada mereka (bekas pemimpin Umno). – SabahNewsToday