3 pegawai SPRM ditahan rasuah, tapi kenapa siasatan ‘dibuat sendiri’, soal Gobind


Gobind Singh Deo (PH-Puchong) menyoal kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan sendiri, selepas tiga pegawainya ditahan dalam siasatan melibatkan “seorang bekas ketua jabatan”.

Penangkapan tiga pegawai SPRM itu menyusul sehari selepas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menafikan ia “takut” menyiasat laporan terhadap tiga pegawai SPRM atas dakwaan mencuri barang kes.

Blog Edisi Siasat sebelum ini mendakwa bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid cuba menuntut semula wang tunai USD6 juta (RM25.1 juta) yang disita dari sebuah apartmen di Cyberjaya, selepas dia dilepas tanpa dibebaskan dalam kes pecah amanah jenayah terhadapnya pada April lalu.

Menurut blog itu, Hasanah mendakwa sebahagian wang berkenaan hilang dan digantikan wang palsu. Dia juga dilaporkan membuat laporan mengenai perkara itu.

Sementara itu, dalam sidang Parlimen hari ini, Gobind menyoal kenapa SPRM menyiasat tiga pegawainya dan bukannya polis. Beliau mempertikaikan sama ada ia akan menjadi seperti siasatan dalaman polis melibatkan dakwaan wujud kartel dalam pasukan itu, sebelum ini.

“Pertama, kes ini melibatkan kecurian barang kes. Kes kecurian di bawah bidang kuasa polis. Jadi, kenapa SPRM yang membuat penangkapan? Isu ini melibatkan pegawai SPRM, kita tidak boleh meminta SPRM membuat siasatan sendiri.

“Persoalannya, apa yang berlaku kepada wang itu? Wang ini berkaitan kes mahkamah. Sebahagian daripada USD6 juta dikatakan hilang.

“Saya menggesa kes ini disiasat badan bebas yang dapat menunjukkan ketelusan dalam siasatannya,” katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat.

Disoal Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) sama ada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki wajar bercuti sehingga kes itu selesai, Gobind meminta soalan rakan PH beliau itu turut dimasukkan dalam ucapannya.

Gobind turut menyoal kenapa tiada maklumat lanjut mengenai siasatan dalaman polis terhadap dakwaan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Abdul Hamid Bador berhubung kewujudan kartel dalam pasukan berkenaan. Beliau sekali lagi menegaskan kes itu tidak patut disiasat secara dalaman.

“Bolehkah kesalahan rasuah dan lain-lain yang didedahkan bekas KPN diselesaikan secara dalaman? Apa yang membezakan pegawai polis apabila kesalahan dilakukan? Kenapa tindakan dalaman?

“Sehingga kini, tiada kenyataan berkenaan isu itu. Apa yang berlaku kepada siasatan dalaman itu?”

Hamid sebelum ini mendakwa wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda yang dikatakan mahu menjatuhkannya. Katanya, kumpulan itu mahu mendominasi pasukan polis untuk kepentingan sendiri.

Acryl Sani Abdullah Sani menggantikan Hamid sebagai KPN pada 4 Mei lalu.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *