50 mahasiswa FPP UMS sertai program CSR di Pusat Tuisyen Raisul –


KOTA KINABALU: Seramai 50 mahasiswa Kursus Pendidikan dengan TESL, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Program Khidmat Masyarakat (CSR) di Pusat Tuisyen Raisul, Kalasanan Inanam, di sini, baru-baru ini.

Ia antara lain bertujuan untuk membantu dan memberi manfaat kepada para pelajar di pusat pembelajaran alternatif tersebut.

Selain itu, pelaksanaan program CSR berkenaan juga bagi meningkatkan kesedaran tentang keadaan di Pusat Tuisyen Raisul sekali gus memberi peluang untuk mendidik pelajar-pelajar dengan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah sesi pengenalan “Ice Breaking: Who Am I?”, aktiviti “Where Shall I go?” dan “Charade”  yang kemudiannya diakhiri dengan aktiviti utama iaitu membaca bersama para pelajar di pusat tuisyen itu.

Program sehari ini turut diiringi empat pensyarah iaitu Ketua Program Pendidikan dengan TESL, Dr. Wirawati Ngui dan Profesor Madya Dr. Suyansah Swanto, Dr. Asmaa Al-Saqqaf serta Dr. Noraini Said.

Menurut refleksi peserta CSR, program itu dilaksanakan dengan jayanya sekali gus memberikan impak yang positif kepada semua mahasiswa terlibat.

Menurut Pengarah Program CSR berkenaan, Michelle Anne Tai, program ini amat membantu dalam meningkatkan kemahiran kepimpinan para peserta.

“Sebagai guru pelatih, projek CSR ini telah memberikan kami pendedahan yang cukup baik kepada keadaan sebenar yang dihadapi oleh guru semasa mengajar dalam bilik darjah.

“Antara pengetahuan dan pengalaman baharu yang diperoleh melalui program ini adalah merangkumi proses penyediaan bahan bantu mengajar (BBM) yang efektif dan sesuai dengan tahap pembelajaran murid-murid di Pusat Tuisyen Raisul.

“Saya amat bersyukur kerana diberikan kepercayaan untuk mengarah program ini serta berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan program ini,” katanya.

Jasde’neesha pula berpendapat bahawa, aktiviti CSR amat menyeronokkan dan sememangnya memberikan peluang kepada semua untuk menjadi lebih berani dan bersedia untuk proses pengajaran dan pemudahcaraan pada masa hadapan.

“Selain itu, aktiviti ini telah membuka mata saya sebagai seorang pelajar apabila melihat murid-murid Pusat Tuisyen Raisul berkeinginan besar untuk menimba ilmu.

“Harapan saya adalah untuk dapat  melibatkan diri lagi dalam aktiviti-aktiviti seperti ini pada masa akan datang,” katanya yang juga ketua aktiviti bagi program membaca bersama murid.

Seorang lagi peserta, Lee Mei Jin memberitahu, sepanjang program sesi pengenalan diri dijalankan, mereka berasa amat gembira dan berasa dekat dengan murid-murid atas respon yang aktif dan meriah.

“Program ini mungkin tidak akan berjalan dengan lancar tanpa bantuan kerjasama daripada pihak-pihak yang terlibat khususnya para guru Pusat Tuisyen Raisul.

“Kami amat bersyukur kerana telah diberikan peluang untuk menyertai program seperti ini dan kami berharap untuk menyertai lebih banyak program CSR pada masa hadapan,” katanya yang juga ketua aktiviti Ice Breaking: Who Am I?

Ketua aktiviti Charades Aida Sakinah pula memaklumkan, pengalaman mengajar murid-murid di Pusat Tuisyen Raisul agak menyeronokkan kerana mereka amat aktif terutamanya dalam aktiviti itu yang mana mereka perlu meneka beberapa perkataan dalam bahasa Inggeris berdasarkan gambar yang ditunjukkan.

“Walau bagaimanapun, kami mendapati bahawa tidak semua kanak-kanak mempunyai peluang yang sama dalam pelajaran.

“Oleh itu saya berpendapat bahawa program seperti ini haruslah diperbanyak untuk membantu mereka yang berkeperluan,” jelasnya.

Bagi Siti Nur Asyiqin, beliau berbesar hati dapat melibatkan diri dalam program ini.

“Ini merupakan kali pertama saya mengajar pelajar secara nyata yang mana sebelum ini kami hanya melakukan simulasi di dalam kelas.

“Maka, pengalaman peserta berkomunikasi dengan pelajar di Pusat Tuisyen Raisul menjadi sebuah pengalaman yang berharga bagi saya,” ujarnya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.