AHLI PARLIMEN KUARANTIN HADIR, PEMBANGKANG KELUAR DEWAN


KUALA LUMPUR: Kehadiran tiga Ahli Parlimen yang sedang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) hari ini mencetus bantahan wakil rakyat pembangkang pada sesi undi belah bahagian untuk Rang Undang-undang Perbekalan 2021 bagi Kementerian Wilayah Persekutuan peringkat jawatankuasa.

Ketiga-tiga Ahli Parlimen itu – Menteri Kesihatan Datuk
Seri Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan; dan P.
Prabakaran (PH-Batu); – masuk ke Galeri Awam Dewan Rakyat dengan mengenakan
pakaian perlindungan diri (PPE) untuk turut serta dalam proses pengundian.

Keadaan itu menyebabkan Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk
Dr Xavier Jayakumar bangkit mempersoalkan rasional membenarkan ketiga-tiga Ahli
Parlimen itu memasuki dewan untuk mengundi. 

Turut
bangun mempersoalkan tindakan itu ialah Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis
Jamman yang mendakwa kehadiran tiga Ahli Parlimen itu meningkatkan risiko
jangkitan kepada wakil rakyat lain serta keluarga mereka.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar
Azizan Harun berkata keputusan ini dibuat susulan tindakan seorang Ahli
Parlimen yang bertindak melanggar kuarantin dan menyertai proses undian pada
minggu lepas.

“Alasannya kerana mereka hendak mengundi, pada Khamis
lalu terdapat Ahli Parlimen dari sebelah sini (pembangkang) yang tidak mematuhi
perintah kuarantin dan datang mengundi.

“Saya tidak mahu perkara itu berlaku, lebih baik saya regulate (kawal
atur) proses pengundian ini,” katanya. 

Selepas lebih lapan
minit bangkit mempersoalkan keputusan Azhar, sebahagian besar Ahli Parlimen
blok pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda protes.

Rang Undang-Undang
Perbekalan 2021 kementerian itu diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan
undi belah bahagian apabila 110 Ahli Parlimen menyokong, tujuh tidak bersetuju,
31 tidak mengundi manakala 72 tidak hadir.

Terdahulu sebelum
sesi perbahasan peringkat jawatankuasa bermula, Azhar menjelaskan terdapat
permintaan daripada tiga Ahli Parlimen yang menjalani HSO untuk menghadiri
persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Azhar berkata Ahli
Parlimen berkenaan dibawa dengan ambulans dan sejurus tiba di Parlimen akan
ditempatkan di bilik khas.

Dalam sidang media
selepas itu, Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang juga Ketua Whip PKR
mendakwa Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak memanggil Ketua-ketua Whip sebelum
membuat keputusan membenarkan Ahli Parlimen yang sedang menjalani HSO hadir ke
Parlimen.

“Dalam kes-kes
lain sebelum ini, Ketua-ketua Whip sentiasa dipanggil oleh Speaker mengenai
apa-apa keputusan pun seperti berapa jam nak berbahas, SOP (prosedur operasi
standard) yang kita perlu ikuti, ini semua kita bincang…hari ini tidak
berlaku,” katanya.

Tambahnya,
perbincangan tersebut perlu kerana ia membabitkan soal kesihatan dan
keselamatan Ahli Parlimen yang lain.

Sementara itu, Datuk
Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) berkata blok pembangkang tidak mempunyai maklumat
berhubung laporan seorang Ahli Parlimen yang melanggar kuarantin dan menyertai
proses undian pada minggu lepas.

“Kami tidak ada
maklumat, tetapi kalau betul dia (Speaker) tahu ada Ahli Parlimen pembangkang
yang datang, sepatutnya mengambil tindakan pada hari itu,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *