ANTARA SELURUH IPTA, KENAPA UMS DIBERI PERUNTUKAN PEMBANGUNAN PALING RENDAH? -MADIUS


Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mempersoalkan Belanjawan 2021 yang hanya memperuntukkan RM600,100 kepada Unversiti Malaysia Sabah (UMS) untuk tujuan pembangunan.

Katanya, peruntukan
tersebut adalah yang terendah daripada semua Institut Pengajian tinggi Awam
(IPTA)  di Malaysia.

“Saya difahamkan
bahawa UMS memerlukan hampir RM8 juta untuk menyediakan pelbagai kemudahan
khususnya untuk memastikan prasarana pendidikan secara maya dapat dijalankan
dengan lancar.

“Seperti yang kita maklum, pendidikan secara atas talian ini adalah
satu norma baharu, dan ini menjadikannya sebagai satu kemudahan asas yang mesti
ada pada era pandemik Covid-19,” katanya.

Madius yang juga
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian ketika
membahaskan Bajet 2021 di peringkat jawatan kuasa bagi maksud Pembangunan
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), di sini, hari ini.

Menurutnya,
Kementerian Kewangan perlu mengambil kira keadaan dimana 70 peratus ataupun
9,000 daripada pelajar UMS berada dalam kategori B40, dan 5,865  atau 30 peratus berada dalam kategori B20.

“Dengan lain
perkataan, jika sekiranya peruntukan yang diberikan untuk Penggerak Komuniti di
bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, diperuntukkan semula ke KPT
ataupun peruntukan yang dipotong daripada JASA untuk pembangunan UMS khususnya
menaiktaraf peralatan dan bahan mengajar, lebih 14,000 pelajar akan mendapat
manfaat.

“Peruntukan
tambahan tersebut juga sebahagian boleh disalurkan untuk membantu para pelajar
B40 dan BL40 (miskin tegar) mendapat akses peralatan-peralatan peribadi yang
diperlukan untuk sistem pembelajaran atas talian.

“Saya bersimpati
dengan pelajar-pelajar, oleh sebab itu wajar sangatlah menteri KPT dapat
memohon peruntukan tersebut daripada Kementerian Kewangan,” katanya.

Ketika ditanya media
selepas perbahasan berhubung usaha memperjuangkan UMS selepas ini, anak jati
Kampung Lokos Kiulu itu memaklumkan, beliau akan menunggu jawapan bertulis
daripada kementerian terlebih dahulu untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu
Madius turut meminta penjelasan tentang status pelaksanaan Kolej Komuniti di
Tuaran.

“Saya ingin tanya
kepada Menteri KPT, bilakah Kolej Komuniti Tuaran dapat dilaksanakan?
Pelancarannya sudah dibuat dahulu dan bangunan pun sudah dikenalpasti,”
katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *