Atlet Sabah, Gabriel Gilbert Daim Raih Pingat Perak Untuk Malaysia Di Sukan Komanwel 2022 Birmingham


KOTA KINABALU : Kontinjen Malaysia meraih satu lagi pingat perak pada temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham semalam menerusi acara terjun di Pusat Akuatik Sandwell.

Menurut laporan Berita Harian,
pingat perak untuk Malaysia dihasilkan gandingan penerjun Muhammad Syafiq Puteh dan atlet Sabah, Gabriel Gilbert Daim bagi acara 3 meter papan anjal seirama.

Kejayaan itu boleh dianggap sebagai satu kejutan berikutan kedudukan mereka bukan pilihan selain kehadiran gandingan utama, Ooi Tze Liang-Chew Yiwei.

Gandingan Syafiq-Gabriel berjaya memenangi pingat perak selepas mengumpulkan 376.77 mata menerusi enam terjunan.

Emas acara ini menjadi milik gandingan Anthony Harding-David Jack Laugher dari England dengan 438.33 mata manakala gangsa dimenangi Samuel Fricker-Li Shixin dari Australia dengan catatan 374.52 mata.

Gandingan Tze Liang-Yiwei hanya mampu menduduki tempat kelima dan terakhir.

Setakat ini, kontinjen negara di Sukan Komanwel 2022 di Birmingham sudah mengumpulkan empat emas, empat perak dan tiga gangsa.

Pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, Gabriel dan Muhammad Syafiq menduduki tempat ke 7 bagi acara 3 meter papan anjal seirama.

Pada Kejohanan Dunia ke 19 FINA yang berlangsung pada 17 Jun hingga 3 Julai lalu di Budapest, Hungary, Gabriel, 20, yang berasal dari Kota Kinabalu, menduduki tangga ke 46 acara terjun papan anjal 1 meter individu.

Antara kejayaan Gabriel sebelum ini adalah pingat emas acara 3 meter papan anjal seirama pada kejohanan FINA Diving Grand Prix 2019 di Australia, dan pingat gangsa kejohanan FINA Diving Grand Prix 2017 di Australia bagi acara 3 meter papan anjal seirama campuran.

Gabriel turut memenangi pingat emas dalam acara terjun campuran berpasukan pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, bergandingan dengan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg.

Sebagaimana atlet lain, aspirasi Gabriel adalah memenangi pingat emas Sukan Olimpik acara terjun.

Idolanya adalah bekas penerjun Olimpik negara, Bryan Nickson Lomas dan pemenang 3 pingat emas Sukan Olimpik London, Rio De Janeiro dan Tokyo acara terjun, Cao Yuan dari China.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.