Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak perlu dinaik taraf sebagai Kementerian Penuh: Madius –


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (PH – Tuaran) menggesa kerajaan agar Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) dinaik taraf sebagai sebuah kementerian penuh dengan mempunyai Ketua Setiausaha sendiri.

Menurutnya, peranan, fungsi, tugas dan tanggungjawab BHESS cukup meluas bagi memastikan pembentukan Malaysia Melalui Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Inter Governmental Committee (IGC) Report dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia benar-benar dapat dilaksanakan.

“Penaiktarafan ini juga sekali gus memastikan tata kelola yang menepati kehendak MA63 dan diterjemahkan dalam satu sistem penyampaian kerajaan yang menepati aspirasi persetujuan pemimpin-pemimpin dan rakyat kedua-dua wilayah membentuk negara Malaysia pada ketika itu.

“Dengan mengangkat BHESS sebagai sebuah kementerian penuh dan bukannya sekadar sebuah bahagian di bawah Jabatan Perdana Menteri, kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak dapat dibawa ke dalam arus pembangunan negara sehinggalah kita dapat menoktahkan kesenjangan dalam pembangunan wilayah serta juga keselamatan wilayah.

“Harus diingat penandatangan MA63 itu ialah, United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, Negara Sabah, Negara Sarawak dan Negara Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ucapan perbahasan peringkat Jawatankuasa Bajet 2023 sempena Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.

Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memberitahu sistem penyampaian Malaysia pada hari ini berkecamuk sekali gus memburukkan lagi ketidakseimbangan pembangunan wilayah.

“Tanah besar Malaysia iaitu Wilayah Sabah dan Sarawak terus mundur dan keterbelakang bukan kerana kita terlambat memulakan proses Pembangunan berbanding Semenanjung tetapi akibat ketidakadilan dalam pengagihan peruntukan daripada pungutan hasil persekutuan dan kegagalan melaksanakan MA63 sepenuhnya.

“Kesenjangan pembangunan wilayah inilah juga yang menjadi tumpuan Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak apabila diwujudkan kelak.

“Menteri BHESS yang ada perlu membuat cadangan kepada Kabinet dengan mengambil pandangan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.

“Malah Saya mencadangkan supaya menteri BHESS dengan Ketua-Ketua Menteri serta juga Menteri-Menteri Besar daripada negeri-negeri di Semananjung untuk mendapat perspektif yang lebih meluas tentang bagaimana kita dapat membina negara Malaysia yang  adil,  saksama dan makmur,” tegas Madius.

Beliau turut mencadangkan agar BHESS menumpukan perhatian kepada hak-hak Sabah dalam hal perkongsian pendapatan (revenue sharing) sepertimana yang terkandung dalam Seksyen dan (1) dan (2) Perkara 112C dan Seksyen 2 (1)  BAHAGIAN 1V Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

“Harus diingat bahawa Perkara 112D walaupun berkaitan rapat dengan Perkara 112C namun asas amaun pemberian kepada Sabah tetap dengan 40% daripada Pungutan Bersih Hasil Persekutuandaripada Sabah.

“Perkara 112D antara lain klausa untuk mengkaji komponen dalam senarai hasil persekutuan yang dimasukkan dalam pengiraan jumlah bersih pungutan hasil persekutuan daripada Sabah.

“Tuaran juga ingin berharap Unit Bumiputera Minoriti Sabah dan Sarawak diktifkan semula sehingga ada butiran bagi Maksud Bekalan 6 Jabatan Perdana Menteri.

“Antara program-program unit ini bagi membangun Bumiputera Minoriti Sabah suatu ketika dahulu termasuklah dalam hal ehwal pengurusan Tanah iaitu sistem PANTAS dan kemajuan Mahkamah Anak Negeri Sabah,” katanya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.