Bergaduh Dengan Suami, Wanita Nekad Cuba Terjun Bangunan


KOTA KINABALU: Seorang wanita nekad ingin terjun bangunan setinggi 10 meter selepas dipercayai bergaduh dengan suaminya di Jalan Laiman Diki, Kampung Air, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, wanita berusia 30-an itu berjaya diselamatkan oleh anggota bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai cubaan terjun bangunan itu pada jam 9.44 pagi dan sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati seorang wanita dilihat berada di luar bangunan setinggi 10 meter dan cuba untuk terjun.

“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memujuk wanita berkenaan agar tidak meneruskan hasrat tersebut.

“Semasa kejadian, suami wanita itu turut berada di lokasi dan bersama-sama memujuk mangsa agar tidak meneruskan niatnya untuk terjun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan bomba berjaya memujuk mangsa dan kemudiannya menurunkan mangsa dalam keadaan selamat.

Mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.06 pagi.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.