Beri Ruang Kepada Anwar Ibrahim Pimpin Kerajaan Perpaduan – Shafie Apdal


KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal menyarankan semua pihak memberi ruang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin negara bagi tempoh lima tahun ini.

Beliau berkata, Anwar seorang yang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran negara jadi, ruang harus diberikan kepadanya untuk mengetuai Kerajaan Perpaduan yang kini memerintah negara.

“Beliau (Anwar) seorang yang mempunyai pengalaman, bukan tidak ada pengalaman. Jadi, saya yakin sekiranya kita berikan ruang kepadanya memerintah.

“Seperti dinasihatkan oleh Yang di-Pertuan Agong, kita wujudkan satu penyatuan kerana itu akan menjadi tonggak kepada negara.

“Kerajaan perpaduan ini sangat penting bagi membolehkan negara bergerak maju ke hadapan,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Negeri 2023, kelmarin.

Mohd Shafie berkata, sejak daripada dahulu lagi Warisan memperkatakan tentang Kerajaan Perpaduan namun, tiada yang mendengar dan sekarang ia sudah terlaksana.

Maka, beliau berharap perkara itu akan diterjemahkan secara menyeluruh dalam memastikan penyatuan umat di negara ini dapat dilakukan.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, beliau tidak mahu melihat rakyat di negara ini berpecah belah jadi, sekiranya mahu membangunkan sebuah negara jangan berlandaskan bangsa dan agama.

 





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.