BINGKASAN: PENGUNDI SABAH BUKAN PALUI


INANAM: Pilihanraya Negeri Sabah pada hujung minggu ini adalah momen terbaik bagi para pengundi menolak set minda UMNO dan sekutunya yang memanggil rakyat Negeri Di Bawah Bayu ini sebagai “palui”.

“Penuh keikhlasan dan kerendahan hati, saya mohon menggesa setiap kita, pengundi dan rakyat Sabah untuk memberikan mereka mesej paling jelas bahawa kita ini bukan palui. Kita ini bermaruah, kita ini setanding malah lebih baik daripada mereka. Jangan undi mereka. Mari undi Warisan Plus,” kata Albert Bingkasan.

Ketua Penerangan UPKO itu merasa “sangat marah, geram dan terluka” kerana kepimpinan UMNO tergamak memanggil rakyat Sabah sebagai “palui”.

“Realitinya apa yang mereka utarakan itu adalah bukti terkini mengenai set minda mereka. Itulah sebabnya UPKO diperlekehkan, diperlakukan seolah sebagai parti yang bodoh semasa masih bersama Barisan Nasional.

“UPKO bertahan kerana kami percaya kualiti ada kelebihannya berbanding kuantiti. Banyak juga pencapaian UPKO namun semua itu tidak datang bergolek. Kita berhempas pulas malah sehingga mengemis supaya Putrajaya menjalankan tanggungjawabnya untuk pembangunan Negeri Sabah.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak kerana membuka pekung di dada. Kepimpinan Putrajaya sebegitu tidak layak untuk disokong. Ia jauh sekali daripada aspirasi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sikap sedemikian membuktikan mereka adalah lebih palui.

“Set minda sedemikianlah yang menyebabkan lebih 60 peratus pengundi marah sehingga BN kalah pada 2018. Cukup-cukuplah genggaman mereka, justeru UPKO buat keputusan ketika itu untuk akur kepada nadi rakyat lalu kami keluar daripada BN,” tambah Bingkasan yang jelas kelihatan sangat geram.

Mantan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau itu berkata demikian kepada media pagi tadi ketika diminta mengulas ceramah beliau semasa berkempen di Kg Binaung dan Kg Bantayan di sini semalam bersama calon Parti Keadilan Rakyat, Peto Galim yang mewakili parti Kerajaan bagi DUN Inanam.

Bingkasan berkata: “Betul, ini masa kempen… macam-macam boleh berlaku.
Tapi adalah juga tepat semasa kempen ini untuk meneliti, memperincikan dan menilai sesebuah parti dan kepimpinan mereka. Datuk Najib panggil kita palui. Ya, memang kita palui lah seandainya kita masih terhegeh-hegeh mengundi dan memenangkan Barisan Nasional, Perikatan Nasional, UMNO dan semua sekutu mereka. Kita bukan palui! Kita bermaruah! Jangan undi mereka!”

Beberapa hari lalu, bekas Perdana Menteri Najib dalam salah satu ceramah di kawasan Sepanggar berkata, “Kalau tak undi BN palui”. Kelihatan juga dalam rakaman video itu yang kini sudah tular di media sosial, calon BN yang turut ketawa terbahak-bahak sejurus selepas perkataan “palui” itu dilafazkan.

Palui, perkataan bahasa pasar Sabah itu bermaksud seseorang itu tolol, atau lebih bodoh daripada bodoh. PRN Sabah ke-16 akan berlangsung pada 26 Sept ini.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *