Cabaran Perkhidmatan Undertaker Ketika Pandemik COVID-19


Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap bagi mengebumikan mayat yang positif Covid-19 antara cabaran baharu yang terpaksa dilalui oleh perkhidmatan pengurusan mayat bagi masyarakat Kristian.

Walau bukan mudah, tugas itu tetap digalas bagi membantu mengurangkan bebanan tugas anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Malah, ada keluarga pesakit Covid-19 yang memilih menggunakan perkhidmatan pengurusan mayat dari luar.

Bagi Labak Mook Simpudu Undertaker Service, sekiranya ada keluarga yang kematian anggota keluarga memilih menggunakan perkhidmatan mereka, pengebumian akan dilakukan mengikut syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM.

Pengurusan Labak Mook Simpudu Undertaker Service ini dikendalikan oleh Roselin Juidi dan Vintin Tuol bersama mendiang Jindan Sinuyul.

Roselin berkata, mereka menyediakan khidmat A-Z iaitu bermula dengan proses memandikan mayat, pengawetan, pemakaian baju, mendandan (jika perlu), menghias rumah mendiang atau rumah mayat ditempatkan sehingga kepada proses pengbumian.

Katanya, perniagaan bagi menyediakan perkhidmatan itu dimulakan sejak 1 Jun 2019.

Menurutnya, pandemik Covid-19 tidak mengganggu perkhidmatan mereka kerana kematian berlaku tanpa mengira waktu dan perkhidmatan pengurusan mayat sebegitu sentiasa diperlukan sama ada semasa pandemik Covid-19 mahupun bukan.

Beliau berkata, biarpun berlaku sekatan daerah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), urusan berkaitan pengebumian dan kematian masih dibenarkan.

Katanya, keluarga yang terlibat hanya perlu mendapatkan surat PDRM bagi membolehkan perkhidmatan membawa mayat dilakukan.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *