Dalang Sindiket Edar Dadah Ditahan Bersama 2.09kg Syabu


KOTA KINABALU: Sindiket pengedaran dadah tumpas apabila dua lelaki ditahan bersama dadah seberat 2.09 kg yang bernilai RM 72,000 dalam satu serbuan berhampiran pusat membeli belah di sini pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, semasa serbuan pada 4.15 pagi di kawasan parkir berhampiran pusat membeli belah itu, kedua-dua lelaki yang berusia 22 dan 28 tahun itu ditahan dalam sebuah kenderaan Toyota Vios.

Namun, apabila diarahkan keluar dari kereta, kedua-dua mereka enggan berbuat demikian sehingga memaksa polis memecahkan cermin kereta tersebut.

Kemudian apabila diperiksa, polis menemukan dadah jenis syabu yang dibungkus dalam plastik teh bertulisan Cina bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Berdasarkan pengakuan suspek, kedua-dua mereka menerima bayaran upah RM1,000 bagi penghantaran kali ini dan bayaran itu bergantung kepada kuantiti dadah yang dihantar.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan berikutan risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sejak enam bulan lalu.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dipercayai bertindak sebagai orang tengah untuk urus niaga jualan dadah di pusat bandaraya ini serta beberapa daerah disekitarnya.

Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kedua-dua suspek negatif ujian air kencing.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *