DrillTech Engineering perkukuh jalinan kerjasama pengkomersialan –


KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh kerjasama dengan pihak industri dalam usaha menerajui bidang penyelidikan untuk memberi manfaat kepada masyarakat di negeri ini.

Terbaharu, UMS telah memandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama DrillTech Engineering Sdn. Bhd. bagi pengkomersialan hasil inovasi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly yang bernilai RM20,000.

Inovasi tersebut yang bertajuk ‘Modular Water Treatment System for Removal of Heavy Metals Integrated with Open Platform Communication (OPC) Online Monitoring’ merupakan sebuah mesin sistem rawatan air yang mampu menyalurkan air bersih ke kawasan tertentu yang turut dilengkapi dengan pemantauan secara dalam talian.

Majlis menandatangani MoA tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor bersama Pengarah Urusan DrillTech Engeineering Sdn. Bhd., Marius Felix sempena Majlis Makan Malam Apresiasi Jawatankuasa Pertandingan Rekacipta (PEREKA) UMS tahun 2022.

Menurut Kasim, melalui MoA tersebut, inovasi ciptaan penyelidik UMS dapat dimanfaatkan sekali gus memberi keuntungan kepada masyarakat dan syarikat yang terlibat.
“Diharapkan agar kemenangan dalam PEREKA ini dapat menyuntik dan mendorong semangat para penyelidik untuk terus komited dalam menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang bermutu tinggi sehingga mampu mengharumkan nama UMS di mata dunia, selaras dengan slogan ‘Leading towards Innovative Societies’ yang telah dilancarkan semasa Majlis Perutusan Tahun Baharu 2023 & 100 Hari Naib Canselor baru-baru ini.

“Slogan ini harus diterapkan dan ditanam dalam diri setiap warga UMS. Budaya berinovasi perlu diperhebatkan dan adalah digalakkan untuk menjadikan inovasi tersebut dapat dimanfaatkan oleh komuniti,” ujar beliau.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rasid Mail.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.