EWON BERI SUMBANGAN KEPADA PENDUDUK YANG DIKENAKAN PKPD


KOTA BELUD: Barangan makanan dan keperluan bayi antara keperluan harian yang disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick kepada penduduk Kadamaian yang terlibat dalam arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dua kampung yang terlibat iaitu Kampung Nahaba dan Kampung Tegudon, Kota Belud melibatkan seramai 1,740 penduduk. PKPD di dua lokaliti itu bermula sejak 20 November lalu.

Menurut Ewon, sumbangan yang disampaikan sedikit sebanyak membantu meringankan masalah dihadapi penduduk kampung berkenaan yang sukar membeli barangan keperluan kerana pergerakan terbatas.

“Penduduk kampung di kedua-dua lokaliti itu sukar mendapatkan barangan keperluan asas untuk bayi seperti makanan dan pampers serta makanan harian kerana tidak dapat keluar membeli keperluan harian yang diperlukan.

“Oleh itu saya mengalu-alukan penglibatan semua pihak agar sama-sama menghulurkan bantuan terus kepada penduduk di kedua-dua kampung ini,” katanya.

Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, Ketua Cawangan Upko, Padis Mengisan iaitu mantan Ketua Kampung Kampung Nahaba memaklumkan pelbagai masalah dan keperluan penduduk kampung sepanjang PKPD.

“Sebab itu antara barangan yang saya sampaikan ialah pampers, susu, sabun dan colgate. Barangan lain seperti sayur-sayuran juga dihantar bersekali ke kampung itu untuk diagih-agihkan kepada penduduk di Kg Nahaba.

“Antaranya keperluan bayi dan warga emas, kehabisan pampers dan susu. Dua keperluan ini tidak termasuk dalam item bantuan Kerajaan melalui Pejabat Daerah yang telahpun menyampaikan bantuan bakul makanan sebelum ini.

“Sumbangan ini mungkin tidak dapat memenuhi semua keperluan penduduk kampung, tetapi saya membantu setakat mana boleh dan berharap ia menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah mereka,” katanya.

Ewon turut meminta urusetia Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian untuk menghantar sumbangan air minuman ke pusat kuarantin Kota Belud di Rest House Kota Belud di mana beberapa penduduk Kadamaian terlibat perintah kuarantin.

Penyampaian sumbangan makanan dan keperluan lain itu dihantar oleh pegawai pejabat Adun Kadamaian, hari ini.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *