GELOMBANG PUTIH SEMAKIN LUAS DI SABAH


PITAS: Sokongan masyarakat Kadazan Dusun dan Murut (KDM) di Sabah terhadap Warisan Plus semakin bertambah baik berbanding sebelum ini.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata rakyat semakin faham selepas penjelasan secara berterusan diberikan bahawa Parti Warisan Sabah (WARISAN) bukan penternak pendatang asing tanpa izin.

Katanya, sepanjang 10 hari berkempen, k pelbagai sesi dan cara digunakan untuk menyampaikan maklumat sebenar kepada orang ramai.

“Memang pada mulanya banyak kekeliruan berkaitan isu pendatang asing tanpa izin ini dan selepas 10 hari mereka nampak bahawa semua itu hanya propaganda politik.

“Justeru, kita yakin gelombang putih diterima secara meluas dalam kalangan masyarakat KDM di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata pada Program Pemimpin Bersama Rakyat Bengkoka di Kampung Mangkapon, di sini, hari ini.

Berdasarkan laporan jawatankuasa khas, sebanyak 400, 000 kad pengenalan biru dikeluarkan semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Sabah dan 82,000 telah didaftarkan sebagai pengundi di negeri ini.

Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, penjelasan yang datang daripada golongan profesional seperti Tan Sri Richard Malanjum dan Dr Chong Eng Leng juga membantu rakyat memahami isu tersebut dengan lebih baik.

Justeru, katanya, rakyat Sabah perlu bersatu hati dan beliau melihat rakyat di negeri ini tanpa mengira bangsa, agama dan usia akan membantu kepada kemenangan Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Rakyat Sabah semakin bijak menilai keadaan yang berlaku. Maka, berilah mandat kepada Warisan Plus untuk kekal memerintah negeri Sabah,” katanya.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *