Hamid: Hamzah atur langkah jadikan ‘budaknya’ pengarah SB untuk tujuan politik


Belum reda isu Hamzah Zainudin cuba mendapatkan kuasa bagi menentukan penempatan pegawai polis, terbaru bekas pegawai tertinggi pasukan itu berkata Menteri Dalam Negeri juga dikatakan “mengatur langkah” untuk menjadikan “budaknya” pengarah agensi perisikan polis, Cawangan Khas (SB).

Abdul Hamid Bador berkata menteri cuba meletakkan seorang bekas pegawai kanan SB yang telah tamat kontrak tahun lalu, kerana dia mudah mengikut arahan ahli politik.

Langkah itu diatur selepas Cawangan Khas enggan menyertai operasi yang menurutnya dipaksakan oleh Hamzah bagi tujuan politik sendiri.

“Pada 16 Feb lalu, Pengarah SB sedia ada dipanggil oleh Ketua Setiausaha KDN sebelum meminta beliau mengakhiri kontraknya secara sukarela, jika tidak notis sebulan bagi pemberhentian kontrak akan diberikan,”

“Menteri tersebut seolah-olah tidak sabar meletakkan ‘budaknya’ mengisi jawatan tersebut sedangkan kontrak Pengarah SB akan berakhir pertengahan Jun ini,” Hamid dipetik sebagai berkata oleh MalaysiaGazette.

Langkah itu bagaimanapun terhenti apabila isu tersebut dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri.

“Pengarah SB diarahkan untuk terus berkhidmat,” kata laporan itu.

Hamid mendakwa menteri SB melakukan “beberapa operasi” bagi tujuan politik sendiri, tanpa memberikan butiran lanjut atas sebab kerahsiaan.

“Objektif operasi itu tidak sesuai dengan mandat yang diberikan kepada SB,” katanya.

Hamid seterusnya berkata SB enggan menyertai operasi itu, dan melaporkannya kepada Perdana Menteri.

“Perdana menteri bersetuju SB tidak boleh terlibat dalam kerja politik menyebabkan menteri terbabit marah,” kata laporan itu.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *