Inovasi UMS Raih Pengiktirafan di e-SPeDIP 2021 Peringkat Kebangsaan


Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan kecemerlangan dalam bidang inovasi apabila dua inovasi yang dipertandingkan pada e-Seminar Penyelidikan dan Inovasi Dalam Pendidikan 2021 (e-SPeDIP2021) Peringkat Kebangsaan secara dalam talian baru-baru ini meraih pengiktirafan anugerah.

Inovasi bertajuk “Employing Social Media Based Willingness To Communicate Module In English Speaking Skill Instruction” yang dihasilkan kumpulan penyelidik dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) dan Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) meraih Anugerah Emas pada Pertandingan Inovasi e-SPeDIP2021 Kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Kumpulan penyelidik tersebut terdiri daripada Pensyarah PPIB, Anna Lynn Abu Bakar; Timbalan Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din; Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FSSA, Prof. Madya Dr. Darmesah Gabda; Profesor Madya di FPP, Prof. Madya Dr. Suyansah Swanto; Guru Bahasa PPST, Nur Anneliza Abd. Latip dan Iziana Hani Ismail.

Inovasi mereka mengetengahkan kaedah memperkukuhkan kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris dengan membangunkan Modul “Willingness To Communicate” (WTC) dengan penekanan elemen keyakinan diri, kegelisahan dan motivasi, serta mengintegrasikan modul dengan penggunaan tiga aplikasi media sosial, iaitu Facebook, Tik Tok dan Madlipz.

Hasil dapatan inovasi tersebut mendapati pelajar lebih seronok, berminat, berkeyakinan tinggi serta bersedia untuk memperbaiki penguasaan berbahasa Inggeris.

Satu lagi inovasi oleh kumpulan penyelidik dari PPIB bertajuk “Using Madlipz In An Oral Communication Classroom: L2 Learners’ Perception” berjaya meraih Anugerah Perak bagi kategori yang sama.

Kumpulan penyelidik tersebut adalah Anna Lynn Abu Bakar, Dr. Irma Wani Othman, Sabariah Abd Rahim, dan Wan Hurani Osman yang merupakan pensyarah PPIB, serta Nor Dawirah Rahman dan Bernadette Tobi yang merupakan Guru Bahasa di PPIB.

Penyelidikan yang dijalankan juga berkisar tentang analisis penggunaan aplikasi Madlipz dalam pembelajaran lisan bahasa Inggeris di kelas dan keberkesanannya dalam membantu meningkatkan kemahiran untuk bertutur dan memperbaiki tatabahasa dalam bahasa Inggeris.

Dua inovasi tersebut merupakan antara 108 inovasi yang bertanding dari pelbagai IPT, Institut Perguruan, Kolej Matrikulasi, Sekolah Tingkatan Enam dan sebagainya dalam kategori yang sama.

Pertandingan bersempena seminar secara maya anjuran Insitut Perguruan Kampus Sarawak itu turut mempertandingkan empat kategori lain iaitu Kategori Guru Sekolah Menengah, Guru Sekolah Rendah, Pelajar Sekolah Menengah dan Murid Sekolah Rendah.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *