ISTERI WAKIL RAKYAT DIMINTA PERSIAP DIRI ILMU BERKAITAN PROTOKOL DAN ETIKET SOSIAL

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Semua isteri wakil rakyat di negeri ini diminta mempersiapkan diri dengan ilmu berkaitan protokol serta etiket sosial agar menampilkan imej positif dalam kalangan masyarakat.

Yang Dipertua Persatuan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (Perwisa), Datin Seri Shuryani Shuaib berkata setiap isteri wakil rakyat wajib sentiasa mempunyai inisiatif melengkapkan diri dengan kemahiran semasa selain inovatif mencari peluang mendedahkan diri kepada perkara baru serta mempelajari ilmu untuk mempertingkatkan kecemerlangan diri.

Yang di-Pertua PERWISA Datin Seri Shuryani Shuaib (tujuh dari kiri) merakamkan gambar bersama sempena Program Eksklusif Protokol dan Etiket Sosial Dalam Majlis Rasmi Persatuan Isteri Wakil-Wakil Rakyat DUN Sabah (PERWISA) di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau berkata selaku isteri kepada pemimpin yang sering berhadapan masyarakat, semua ahli Perwisa hendaklah mempersiapkan diri dengan pelbagai perkara berkaitan termasuklah tatacara dan etika menghadiri sesuatu majlis, etika berpakaian serta penampilan diri dan susunan tempat duduk.

“Ini adalah pengetahuan asas yang harus dipelajari dalam melaksanakan tugas mahupun tanggungjawab rasmi samaada di peringkat negeri atau kebangsaan.

“Ia penting diterapkan supaya kita mempunyai amalan serta nilai sosial yang tinggi selain lebih beretika dan berkeyakinan sewaktu berada di suasana formal.

“Pengetahuan seumpama ini mestilah sentiasa dipraktikkan sehingga menjadi budaya kerana kemahiran dalam hal ehwal protokol serta etiket sosial sudah tentunya dapat mempersiapkan diri bagi melaksanakan tugas agar tidak kekok ketika pelbagai acara rasmi,” katanya ketika berucap pada perasmian Program Eksklusif Protokol dan Etiket Sosial Dalam Majlis Rasmi Perwisa, dekat sini, hari ini.

Dianjurkan oleh Institut Latihan Sektor Awam Negeri (Insan) dengan kerjsama Bahagian Istiadat dan Protokol Jabatan Ketua Menteri, program terbabit berlangsung selama dua hari bermula 11 sehingga 12 Februari.

Program terbabit dihadiri lebih 30 ahli Perwisa yang juga isteri kepada wakil rakyat di negeri berkenaan.

Sementara itu, Shuryani berkata melalui program itu, semua ahli Perwisa juga boleh memperoleh panduan dan bimbingan tentang kaedah berkaitan menguruskan pelbagai majlis berasakan konsep mahupun amalan protokol serta etiket sosial.

“Selain itu, peserta turut mampu memahami proses ketrampilan atau penggayaan diri semasa menghadiri majlis,” katanya. –SabahNews Today