KDCA Sepi, Sambutan Pesta Kaamatan Secara Online


PENAMPANG: Sambutan Pesta Kaamatan sepanjang bulan Mei di Sabah sering diraikan dalam suasana penuh kemeriahan, apatah lagi semasa hari kemuncak sambutan pada 30 dan 31 Mei.

Namun suasananya begitu berbeza tahun ini kerana tiada lagi ribuan pengunjung yang dilihat membanjiri pekarangan Dewan Hongkod Koisaan, KDCA.

Jika tahun-tahun sebelumnya, tanggal 30 dan 31 Mei menyaksikan pengunjung berpusu-pusu berkunjung ke KDCA bagi merasakan kemeriahan sambutan Pesta Kaamatan tetapi, kali ini suasana di KDCA sunyi dan sepi tanpa kehadiran pengunjung.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam ucapan perasmian yang dirakam lebih awal berkata, perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini menjadi model perpaduan keharmonian kaum di Malaysia.

Oleh itu, penting bagi masyarakat berbilang kaum di Sabah untuk mengekalkan perpaduan dan semangat kerjasama yang ada bagi membawa pembangunan di negeri ini ke tahap lebih tinggi seiring dengan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Untuk itu beliau menggesa rakyat Sabah untuk menyokong pelan pembangunan kerajaan bagi memastikan pelaksanaannya dapat membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dan negeri ini.

Menurutnya, pandemik Covid-19 mengubah cara penganjuran pesta Kaamatan pada tahun ini yang dianjurkan dengan menggunakan teknologi pendigitalan.

Hajiji berkata, perayaan Pesta Kaamatan adalah perayaan penting di Sabah terutama dalam kalangan masyarakat KDMR serta kumpulan etnik yang lain.

Tema sambutan tahun ini adalah ‘Kaamatan tanpa sempadan demi perdamaian dan keamanan’.

Beliau turut mengingatkan rakyat Sabah untuk sentiasa mematuhi SOP bagi membolehkan usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dapat dijayakan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan perayaan Kaamatan peringkat negeri, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, sambutan tahun ini merintis dimensi baharu dalam perayaan Kaamatan dimana penonton dan orang ramai dapat menyaksikannya dengan lebih selesa di rumah masing-masing.

Beliau turut melihat penganjuran secara online ini sedikit sebanyak akan membantu Malaysia mempromosikan budaya dan keunikan masyarakat Sabah kepada dunia luar. Usaha ini pasti akan membantu menarik lebih ramai pelancong pada masa akan datang.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *