KESELAMATAN SABAH TERKAWAL – Dari Kita Untuk Semua


KOTA KINABALU:   Strategi yang komprehensif melibatkan semua agensi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya meletakkan keselamatan Sabah di tahap yang terkawal.

Panglima Lima Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata selain Tentera Darat (TD) yang dipelopori 5 Divisyen, peranan ATM turut dimainkan oleh Markas Pemerintahan Armada Timur dan Tentera Udara oleh Markas Wilayah Udara Dua yang berpangkalan di Wilayah Persekutuan Labuan. 

“Secara amnya, keadaan keselamatan di Sabah masih lagi terkawal dan kita mempunyai strategi atau mekanisme yang komprehensif melibatkan semua agensi. 

“Di pihak ATM, kita ada peranan dimainkan oleh pemerintahan Armada Timur dalam menjaga perairan Sabah, Tentera Udara oleh Markas Wilayah Udara 2 yang berpengkalan di Labuan.

“Pada sebilangan masa, TD mempunyai 2,000 pegawai dan anggota yang sedang melaksanakan operasi-operasi teras menjaga keselamatan di sepanjang pantai dan sempadan selatan Sabah-Kalimantan. 

“Operasi ini dijalankan secara berterusan dan sebagai langkah jangka panjang, Tentera Darat juga merancang akan terus membangunkan keupayaan Lima Divisyen secara berperingkat hingga menjelang tahun  tahun 2025 nanti,” jelasnya di Istana Negeri.

Beliau yang ditemani isteri yang juga Pengerusi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Lima Divisyen, Datin Hartiah Hamzah ditemui media selepas mengadakan kunjungan perpisahan terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Menurut Muhammad Hafizuddeain, kunjungan tersebut bertujuan untuk menyampaikan penghargaan kepada Tun Juhar serta Kerajaan Negeri Sabah sebelum bertukar keluar ke Wilayah I dalam masa terdekat.

“Pada peluang ini, saya menjunjung kasih dan merakamkan penghargaan secara peribadi kepada Tuan Yang Terutama Tun Juhar atas sokongan beliau sepanjang tempoh dua tahun tiga bulan perkhidmatan saya sebagai Panglima Lima Briged dan Panglima Lima Divisyen.

“Bagi pihak seluruh warga Divisyen Kelima Infantri Malaysia, saya mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama Kerajaan Negeri Sabah kepada kami dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan Sabah. 

“Saya sangat bersyukur kerana Lima Divisyen sentiasa mendapat kerjasama yang sangat baik daripada semua pihak termasuk rakyat Sabah,” tambahnya.

Katanya, walaupun berdepan dengan ancaman Covid-19, segala operasi yang dilaksanakan dapat disempurnakan dengan baik tanpa menimbulkan masalah sekaligus membuktikan kerjasama erat di antara TD dengan seluruh rakyat Sabah.

Turut berlangsung, penyampaian cendera kenangan dan sesi merakam foto kenangan Muhammad Hafizuddeain bersama Komander Rejimen 507 Askar Wataniah, Kol Al Hambra Juhar. – Penerangan





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.