Ketua Jabatan Perlu Mudahkan Pelaksanaan Projek Pembangunan – Hajiji


KOTA MARUDU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengarahkan semua ketua jabatan dan pegawai untuk mempermudahkan pembangunan atau projek kerajaan terutama yang sudah diluluskan dan diberikan peruntukan.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara ini amat penting bagi memberi kemudahan pembangunan yang sepatutnya kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, langkah ini bagi memastikan tiada projek pembangunan yang lambat disiapkan sekali gus hanya akan merugikan rakyat.

“Sebagai ketua menteri kepada kerajaan baharu ini, saya mahu pelaksanaan projek kerajaan mesti dipercepatkan.

“Jika ada masalah cari penyelesaian, contohnya dalam taklimat tadi ada masalah berkaitan jalan raya (pembinaan) kerana tidak diberikan kebenaran oleh jabatan tertentu.

“Sepatutnya sebagai ketua (jabatan), kita boleh menggunakan budi bicara atau kebijaksanaan bagi menangani masalah seperti ini. Jika tidak, pembangunan itu akan lambat disebabkan kekangan yang boleh ditangani dan akan merugikan rakyat yang benar-benar memerlukannya,” katanya selepas mendengar Taklimat Pembangunan Daerah Kota Marudu, di sini hari ini.

Taklimat disampaikan oleh  Pegawai Daerah Kota Marudu, William Ahlan.

Menurutnya, kepentingan rakyat amat diberi perhatian kerajaan hari ini dan beliau mahu masalah yang menghalang kerajaan untuk membawa kemajuan atau pembangunan kepada rakyat dapat ditangani.

“Jangan jadikan pandemik ini (Covid-19) untuk tidak bergerak langsung. Disebabkan itu, apabila Sabah dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang ini, saya mengambil peluang ini untuk melawat ke daerah bagi mengetahui apa masalah pembangunan di seluruh daerah di negeri ini,” katanya.

Dalam lawatan kerja ke Kota Marudu Hajiji turut menyampaikan Bantuan Tunai One-off RM300 kepada 20 penternak dan 14 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan keseluruhannya bernilai RM10,200, selain lima unit mesin pengisar rumput untuk memproses makanan ternakan.

Sementara itu, Kerajaan negeri sudah membuat pembayaran sejumlah RM55.82 juta kepada 186,079 penerima Bantuan Tunai One-off RM300, setakat 21 Feb.

Ini membabitkan pembayaran kira-kira 57.46 peratus menerusi pelaksanaan Bantuan Sabah Prihatin COVID-19 2.0, selepas diumumkan pada 16 Jan lalu.

Turut hadir dalam taklimat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong; Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Mojungki; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga ADUN Bandau, Datuk Wetron Bahanda @ Mohd Fikri serta Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan merangkap ADUN Tandek, Hendrus Anding.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *