Keunikan Tarian Singa Di Restoran Salim


KOTA KINABALU: Sejak 23 tahun lalu, Restoran Salim di Lintas Plaza, di sini, menganjurkan persembahan tarian singa setiap kali ketibaan perayaan Tahun Baharu Cina.

Inisiatif itu adalah untuk menghargai pelanggan setianya yang terdiri masyarakat pelbagai kaum khususnya masyarakat Tionghua.

Dan sempena kedatangan Tahun Arnab, Restoran Salim meneruskan tradisi sejak tahun 2000 itu dengan menjemput kumpulan penari singa untuk membuat persembahan di premisnya.

Dengan disaksikan hampir seribu orang, kumpulan penari singa melakukan persembahan yang menampilkan kelainan apabila turut disertai kumpulan penari kebudayaan suku kaum Murut.

Orang ramai terpesona dan teruja apabila kumpulan penari singa ini turut mempersembahkan tarian Magunatip iaitu sejenis tarian tradisi suku kaum Murut di pedalaman Sabah.

Penari magunatip turut beraksi di atas tiang yang lazimnya digunakan kumpulan penari singa untuk aksi melompat ketika membuat persembahan.

Pemilik restoran Salim, Salim Khan tidak ketinggalan mencuba sendiri tarian Magunatip.

Gabungan elemen tradisi Sabah dan tarian singa yang sudah sinonim dan menjadi simbol perayaan Tahun Baharu Cina, nyata memberikan pengalaman baru kepada orang ramai yang hadir.

Acara dilengkapkan dengan pemberian angpau oleh Salim dan isterinya kepada kanak-kanak.

Sebelum ini, restoran Salim turut memberikan sajian roti canai dan teh tarik kepada kumpulan penari singa ketika membuat persembahan.

Itulah keistimewaan persembahan tarian singa di restoran Salim di Lintas Plaza setiap kali ketibaan Tahun Baharu Cina.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.