KILANG PAPAN TERBAKAR DI BATU LIMA JALAN APAS

Oleh Alfred Petrus

TAWAU: Sebuah kilang papan jenis tidak kekal milik Syarikat Anjur Juara dengan anggaran keluasan 30×30 kaki persegi di Jalan Apas Batu Lima musnah terbakar awal pagi tadi.

Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Sharudy Delamin berkata dalam insiden tersebut, turut melibatkan dua buah blok rumah pekerja syarikat tersebut.

Bomba Tawau berusaha memadamkan kebakaran tersebut. Gambar SNT/Ehsan Bomba

“Dua blok 10 pintu rumah pekerja jenis tidak kekal dengan anggaran keluasan 7×30 kaki persegi dan 4×30 kaki persegi turut musnah terbakar.

“Pasukan bomba bertindak membuat pemadaman dan seterusnya membuat pemeriksaan menyeluruh di kawasan kejadian bagi memastikan keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Katanya kebakaran tersebut terkawal pada pukul 6.12 pagi dan tiada kecederaan mangsa dilaporkan.

Tambahnya operasi pemadaman kebakaran tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 10 pagi.

Sementara itu, Sharudy berkata Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan tersebut pada pukul 4.33 pagi dan menggegaskan seramai 13 orang anggota ke lokasi kejadian. -SabahNewsToday