Kunjungan Hormat UMS-DBKK Perkasa Kerjasama Strategik

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkasakan lagi kerjasama sedia ada dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui satu kunjungan hormat kepada Mayor DBKK, Datuk Nordin Siman di pejabatnya di sini hari ini.

Rombongan UMS yang diketuai Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin telah memberi taklimat ringkas mengenai perkembangan semasa universiti serta kerjasama-kerjasama yang terjalin selama ini.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin (kiri) menyampaikan cendera hati UMS kepada Mayor DBKK, Datuk Nordin Siman (kanan). Gambar SNT/Ehsan UMS

Antara yang menarik perhatian termasuklah projek “teaching resort” yang akan diusahakan UMS bersama pihak industri di dalam kampus.

Menurut D Kamarudin, projek itu dijangka mampu menarik lebih ramai kehadiran pelancong di Bandar Raya Kota Kinabalu sekali gus merancakkan lagi pembangunan ekonomi di Sabah khususnya di daerah tersebut.

Rombongan UMS mengambil gambar kenangan bersama Mayor DBKK, Datuk Nordin Siman (enam kanan). Turut kelihatan Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin (tujuh kiri). Gambar SNT/Ehsan UMS

“Kita juga mengalu-alukan warga kakitangan DBKK untuk melanjutkan pengajian di UMS atau mengikuti kursus-kursus jangka pendek sejajar dengan keperluan kakitangan.

“Dalam masa sama UMS juga sentiasa dengan tangan terbuka berkongsi kepakaran yang kita ada dalam kalangan pensyarah-pensyarah untuk menyumbang kepada pembangunan dan khidmat komuniti bersama DBKK,” jelasnya.

Sementara itu, Nordin berterima kasih atas kunjungan UMS dan berharap agar kerjasama akan terus erat terjalin.

Beliau juga mencadangan agar diwujudkan jawatan kuasa kebersihan melibatkan UMS bagi sama-sama menjaga kebersihan pantai dan sungai di sekitar Kota Kinabalu.

“Kerjasama ini dilihat mampu untuk mengawal dan menangani isu-isu berkaitan kebersihan persekitaran khususnya di kawasan pantai dan sungai,” katanya.

Hadir sama pada kunjungan hormat tersebut ialah Pegawai-pegawai Utama UMS dan Pegawai Pengurusan DBKK.

Untuk rekod, kerjasama UMS-DBKK sebelum ini telah dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu pada tahun lalu.-SabahNewsToday/UMS