LAPAN BEKAS PEMIMPIN UMNO SABAH RASMI JADI AHLI PPBM (BERSATU)

Oleh Chris Maskilone

PUTRAJAYA: Lapan bekas pemimpin Umno Sabah diterima secara rasmi menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan kad keahlian kepada kumpulan pertama dari Sabah menyertai parti itu di sini.

Tun Mahathir bersama ahli baharu parti dari Sabah. Gambar Bernama

Mereka adalah bekas ketua Umno Sabah merangkap Adun Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor,  Adun Karanaan Datuk Masidi Manjun, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Dun, Ahli Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri, Ahli Parlimen Libaran Datuk Zakaria Edris, Senator Datuk John Ambrose dan bekas ketua Umno Pensiangan Datuk Abdul Ghani Yassin.

Tun Mahathir turut memberi pengesahan bahawa enam lagi bekas Adun Umno Sabah akan menyertai Bersatu.

Dalam sidang akhbar kemudian, Tun Mahathir menjelaskan pelebaran sayap Bersatu ke Sabah bukan bermaksud untuk mengetepikan Parti Warisan Sabah yang kini mengetuai kerajaan gabungan negeri Sabah.

Katanya pendirian Bersatu datang ke Sabah adalah menyokong Warisan.

Sebelum ini para pemimpin Warisan percaya bahawa Bersatu akan berpegang kepada janji semasa Pilihanraya Umum ke-14 lalu tidak akan bertapak di Sabah.

Namun, Tun Mahathir berkata mereka mengambil keputusan untuk datang ke Sabah memandangkan ramai dari negeri tersebut telah meminta agar Bersatu berbuat demikian.

Beliau berkata pegawai Bersatu akan melawat Sabah pada 6 April nanti.

Sementara itu, ditanya sama ada Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez yang juga anak kepada bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman akan turut menyertai Bersatu, Tun Mahathir berkata “belum lagi.”-SabahNewsToday