Liga Super: Gol Tunggal Badrrol Bakhtiar Pastikan Sabah FC Kutip 3 Mata Penuh Atasi Sarawak United


KOTA KINABALU : Sabah FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dalam perlawanan Borneo Derby apabila menewaskan Sarawak United 1-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Gol tunggal ketua pasukan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memastikan skuad The Rhinos mengutip tiga mata penuh di gelanggang sendiri.

Pemain berpengalaman itu yang tidak diturunkan dalam 3 perlawanan sebelum ini akibat kecederaan, meledak gol kemenangan untuk memastikan Sabah mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super dengan 34 mata, satu mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Aksi di babak pertama agak seimbang dan peluang terbaik Sabah untuk mencipta gol adalah pada minit ke-43, namun tandukan Saddil Ramdani yang menerima hantaran Alto Linus, diselamatkan penjaga gol Sarawak, Tauffiq Ar Rasyid Johar.

Walaupun mendominasi permainan, Sabah gagal membolosi gawang lawan sehinggalah tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Sabah terus melakukan serangan dan kemasukan penyerang veteran, Amri Yahya hampir memperoleh jaringan pada minit ke-49 namun rembatannya dari luar kotak penalti, berjaya ditepis keluar Tauffiq.

Begitu juga pada minit ke-50 apabila percubaan Saddil Ramdani terkena tiang gol Sarawak.

Selang dua minit selepas itu, Uche Agba mencetuskan situasi kelam kabut dalam kotak penalti Sabah FC apabila berjaya melepasi kawalan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat namun penyokong tuan rumah lega apabila pertahanan Sabah pantas menutup ruang.

Di minit ke-62, penyokong tuan rumah akhirnya ceria apabila Baddrol memanfaatkan hantaran daripada Saddil untuk menanduk masuk gol tunggal perlawanan.

Selepas itu, Sabah hampir memperoleh jaringan kedua pada minit-70 menerusi sepakan voli jarak dekat Taiki Kagayama namun dapat ditepis oleh penjaga gol Sarawak.

Pada minit ke-77, pelawat hampir menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan Uche Agba namun berjaya diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.

Dengan kemenangan ini, Sabah kekal di tangga kedua Liga Super dengan 34 mata selepas mengharungi 15 perlawanan, 1 mata di belakang pendahulu, JDT.

Manakala Sarawak di tangga ke 10 dengan 13 mata.

Selepas perlawanan, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim berkata perlawanan menentang Sarawak United bukan mudah, namun apa yang penting Sabah berjaya mendapatkan 3 mata penuh.

“Di mana kita tahu ini merupakan satu perlawanan yang bukan mudah bagi kita dan juga pemain bermain dengan amat baik terutamanya pada separuh masa kedua.

“Tetapi walaupun kita mengawal situasi perlawanan, kita gagal mendapatkan gol pada separuh masa pertama dan ini memberi tekanan kepada kita untuk mendapatkan gol akhirnya dengan satu gol, saya percaya itu mencukupi untuk kita menjarakkan kita dengan pasukan pasukan lain,” katanya.

Bagi Ketua Jurulatih Sarawak United FC, S Balachandran, pasukannya tidak bernasib baik meskipun pemainnya bermain dengan baik mengikut taktikal yang direncanakan.

“Tahniah kepada Sabah ya. Jadi ini game Borneo Derby ya, pemain saya Sarawak United bermain dengan cukup bagus, ikut taktikal dalam bertahan dan serangan balas.

“Separuh masa pertama, kita mendapat peluang tetapi kita tak ambil, separuh masa kedua kita bermain dengan amat baik walaupun ada tekanan dari Sabah, pemain kita mampu memberikan satu cabaran yang bagus, dan mendapat peluang. Namun dalam bolasepak, jika anda tidak memanfaatkan peluang itu, anda tidak boleh menang perlawanan.

Sementara itu, Kim Swee turut diminta mengulas prestasi penyerang import Sabah FC dari Portugal, Jose Embalo yang beraksi hambar dan mengecewakan dalam kesemua perlawanan Sabah FC setakat ini.

“Dah tentu prestasi Embalo tidak memuaskan. Dan pada masa yang sama, saya minta kerjasama semua pihak terutama para penyokong yang saya faham yang inginkan sesuatu daripada Embalo, tetapi kita tidak boleh sentiasa meletakkan tekanan yang begitu kuat kepada mana mana pemain ya.

“Kita tahu apabila kita membawa pemain import, dah tentu kita inginkan yang terbaik tetapi pada masa yang sama, kita harus faham di mana kita tak boleh meletakkan satu tekanan yang cukup tinggi dan saya tidak tahu apa yang Embalo fikirkan sebagai seorang pemain lebih-lebih lagi sebagai seorang individu ya, bukan mudah untuk mengawal perasaan ketika bermain dan mendapat tekanan sepertimana yang beliau hadapi.

“Pada masa yang sama, saya tidak menyalahkan sesiapa, namun kita perlu memikirkan satu cara yang terbaik ya dan saya masih lagi tidak akan mensia-siakan sesiapa sekalipun dan pasti memberi peluang demi peluang dan hari ini apabila kita berada dalam kedudukan yang baik, bukan bergantung kepada seorang pemain tetapi kepada semua pemain.

“Jadi bukan sebab seseorang kita tewas ataupun kita kalah, ataupun kita menang, ini penting dimana kita harus fikirkan yang di sini kita menuju ke pengakhiran musim, jadi kita harus kekal fokus dan semua penyokong dan juga pegawai-pegawai tertentu yang harus menyokong pasukan, bukan menimbulkan masalah,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.