Madius Kecam Azmin Guna Istilah Termasuk Sabah dan Sarawak


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) mengecam kenyataan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali selepas menggunakan istilah ‘termasuk Sabah dan Sarawak’ dalam ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Rakyat, di sini, kelmarin.

Dalam hantaran facebooknya, Madius mempersoalkan Azmin dan menyatakan ketidakwajaran penggunaan istilah tersebut.

“Baca betul-betul kenyataan Menteri Kanan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini. Pernahkah kita tanya kenapa perlu disebut “termasuk Sabah dan Sarawak?”

“Bukankah kenyataan ini cerminan kepada pola pemikiran ataupun mindset penulis dan pengucap?”

“Pada saya sebutan ‘termasuk Sabah dan Sarawak’ itu berbangkit kerana pola pemikiran penulis melihat Malaysia itu samalah ataupun merujuk kepada Semenanjung Malaysia. Semenanjung Malaysia itu adalah Malaysia, dan Malaysia itu adalah Semenanjung Malaysia.

“Akhirnya Pembangunan Semenanjung Malaysia itu diambil sebagai Pembangunan Malaysia. Sebab itu Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak difikirkan setakat “termasuk” dalam Pelan Pembangunan atau bukan sebagai keutamaan,” katanya.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, harus disedari Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak itu dengan jumlah keluasan 60 peratus keseluruhan tanah Malaysia merupakan “Tanah Besar Malaysia” yang sebenar.

“Tetapi kenapa setakat ‘termasuk’ dalam perancangan pembangunan dan bukannya ‘Keutamaan’ ataupun ‘Rujukan Utama’ dalam perancangan pembangunan Malaysia,” tegasnya.

Perkongsian Ahli Parlimen Tuaran itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

“Kenapa nda (tidak) cakap seluruh negara saja kan. Kalau si bapa ada 10 anak terus dia bilang (kata), saya akan bagi hadiah semua anak-anak termasuk yang anak numbur 5 sama 9. Aik..maksdnya sebelum tu mungkin tidak dibagi? Jarang-jarang kena bagi?,” kata Bryan Midir dalam ruangan komen.

“Ia menggambarkan bahawa, Sabah & Sarawak ini bukan sebahagian Malaysia seolah-olah tanah jajahan.

“Bagi yang berfikiran rasional, ia sepatutnya ditulis dan disebut sebagai:- “memastikan pembangunan industri dipertingkatkan di Malaysia TERUTAMA di wilayah Sabah dan Sarawak,” ujar Conrad Wong.

“Mungkin sudah tiba masa nya kembalikan status Negara Sabah DSP. Biar suara rakyat menyalak untuk menuntut hak Sabah,” kata Julian Jim.

Seorang lagi netizen, Hardilius Sibun menyuarakan pandangan bahawa aspek Pendidikan telah menyebabkan perkara ini berlaku.

“Pelajar-pelajar di sekolah Sabah diajar mengenai siapa itu Malaysia dalam konteks Malaya, Sabah dan Sarawak, taaaapi (tetapi) percaya atau tdk (tidak), di Malaya pelajar-pelajar sekolah diajar mengenai siapa itu Malaysia dlm (dalam) konteks lain, dimana Malaysia itu Malaya; bukan Malaya, Sabah dan Sarawak.

“Sbb (sebab) itu jgn (jangan) hairan klu (kalau) kebanyakan statement news atau apa-apa juga statement jika penulis dia dari Malaya, bila bercakap pasal Malaysia, dia akan cakap seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Dan jgn (jangan) juga hairan kalau majoriti pelajar sekolah maupun penduduk Malaya tidak tahu bahawa Sabah & Sarawak itu adalah Malaysia,” katanya.

Terdahulu, istilah tersebut telah digunakan Azmin dalam ucapan pernggulungan berkaitan kelestarian pembangunan kawasan perindustrian.

Katanya, bagi memastikan kelestarian pembangunan kawasan perindustrian termasuk di Sabah dan Sarawak, MIDA akan meneruskan inisiatif menaiktaraf dan memperbaiki infrastruktur asas kawasan perindustrian sedia ada.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *