MAKLUMAT DALAMAN KESELAMATAN TIDAK SEHARUSNYA DIDEDAHKAN


PITAS: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menyelar tindakan pihak polis yang mendedahkan maklumat akan berlaku cubaan kemasukan beramai-ramai rakyat dari negara jiran ke Sabah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, pihak polis seharusnya berbincang dengan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Sabah terlebih dahulu dan bukannya membocorkan maklumat dalaman kepada umum.

“Pasukan keselamatan seharusnya melaporkan perkara tersebut kepada Ketua Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri dan Menteri Dalam Negeri bagi mengendalikan isu keselamatan tersebut dengan teratur.

“Soal keselamatan jangan main-main. Jangan cuba menakutkan rakyat.

”Mereka seharusnya melaporkan kepada Ketua Menteri mengenai kejadian sebegini agar arahan berkaitan dapat diberikan.

”Ini soal keselamatan jadi jangan cakap dan bocorkan maklumat sebegini. Kita tidak boleh pandang sambil lewa isu keselamatan ini,” katanya ketika mengulas berhubung kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali mengenai cubaan kemasukan beramai-ramai rakyat dari negara jiran.

Madius berkata, rakyat harus yakin dengan keupayaan pasukan keselamatan bagi mengawal keadaan perairan Sabah.

“Oleh itu, rakyat harus berani mempertahankan hak kita, bersatu hati dan jangan biarkan isu sebegini takut-takutkan orang Sabah untuk keluar mengundi,” jelasnya.

Menurutnya, kenyataan sebegitu tidak wajar dimaklumkan kepada orang awam kerana ia mungkin mengundang panik.

Dalam keadaan Filipina ingin meneruskan tuntutan ke atas Sabah, isu kemasukan rakyat Filipina ke Sabah sebegini akan tambah menakutkan orang awam.

Tambahnya, tidak wajar maklumat sebegitu didedahkan kepada umum dalam keadaan ini.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *