Mayat Wanita Reput Ditemukan Di Pondok Usang Di Tebobon


KOTA KINABALU: Satu mayat wanita ditemukan dalam keadaan reput di sebuah pondok usang di belakang stesen minyak Tebobon, Menggatal pagi tadi.

Dalam penemuan kira-kira jam 10.15 pagi tadi, mayat mangsa dipercayai wanita berusia 50-an berdasarkan bentuk fizikalnya ditemukan mati dipercayai lebih tiga hari di pondok yang berada di kawasan semak yang terletak 500 meter dari stesen minyak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pemeriksaan awal terhadap mayat mangsa oleh pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati kedua-dua belah tangan mayat telah reput tinggal tulang, begitu juga dengan keadaan kaki mayat.

“Keadaan kepala mayat juga mula mereput. Mayat dalam keadaan terbaring di dalam sebuah pondok usang yang dipercayai dijadikan tempat tinggal mangsa.

“Permeriksaan yang dibuat di lokasi serta sekitar beberapa meter dari tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat rumah-rumah setinggan yang disyaki dihuni oleh kelompok warga asing.

Walau bagaimanapun temubual awal ke atas beberapa penduduk sekitar sukar mendapat kerjasama kerana kesemua mereka menyatakan tidak mengenali si mati.

Justeru, mayat mangsa dibungkus kemudian dihantar ke bahagian Forensik, Hospital Queen Elizabeth bagi menjalan pemeriksaan ujian Covid-19 sebelum bedah siasat dijalankan.

Siasatan diteruskan untuk mengetahui identiti keluarga mangsa. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

 





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.