Najib, Arul Kanda pinda laporan audit 1MDB untuk elak tindakan undang-undang, kata saksi –


Mahkamah Tinggi diberitahu, Najib Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda meminda laporan audit syarikat untuk melindungi mereka daripada pendakwaan jenayah dan liabiliti sivil.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Haniff Lami, berkata Najib, menggunakan kuasanya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk mengarahkan laporan berkenaan dipinda.

Katanya, laporan dipinda itu kemudian dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Mac 2016.

Saksi pendakwaan ke-16 itu berkata, Arul Kanda bersubahat dengan Najib dalam perkara berkenaan.

“Siasatan saya mendedahkan bahawa kedua-dua mereka (Najib dan Arul Kanda) terlibat dalam membuat pindaan untuk melindungi diri daripada tindakan sivil dan jenayah dalam mengendalikan 1MDB,” katanya.

Menurutnya, Najib telah mengarahkan ketua setiausaha sulit perdana menteri pada masa itu, Shukry Mohd Salleh, untuk mendapatkan laporan berkenaan, yang mana ia kemudian diserahkan kepada Arul Kanda bagi membolehkannya meneliti kandungan itu.

“(Najib) kemudian mengarahkan supaya satu mesyuarat diadakan di pejabatnya pada 22 Feb 2016,” katanya.

Haniff berkata, ketua audit negara ketika itu, Ambrin Buang dan bekas ketua setiausaha negara, Ali Hamsa turut hadir pada mesyuarat berkenaan.

Ketika mesyuarat katanya, Najib mengarahkan Ali, yang telah meninggal dunia, untuk menetapkan mesyuarat penyelarasan antara Jabatan Audit Negara dan dirinya (Najib).

Katanya, ini bagi membolehkan Najib membincangkan beberapa isu dalam laporan yang menimbulkan rasa tidak puas hatinya.

Menurutnya, Najib turut mengarahkannya untuk tidak mencetak laporan sehingga beliau meluluskan kandungannya.

Haniff berkata, susulan arahan Najib, Ali mengadakan mesyuarat pada 24 Feb 2016 yang turut dihadiri Arul Kanda.

Pegawai SPRM itu berkata, hasil mesyuarat berkenaan empat perkara dikeluarkan daripada laporan.

Perkara itu berkaitan dengan dua penyata kewangan 2014, pengeluaran Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN), identiti pelanggan sekunder bon Islam, dan kehadiran ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (juga dikenali sebagai Jho Low) pada mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

Katanya, laporan dipinda itu dibentangkan kepada PAC pada awal Mac 2016.

Terdahulu, Haniff berkata, dia dilantik sebagai pegawai penyiasat pada 26 Nov 2018 selepas SPRM membuat laporan untuk memulakan siasatannya terhadap laporan audit.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Rahmat Hazlan, dia memberitahu telah mengambil keterangan saksi daripada Najib pada 6 Dis 2016.

Dia juga bersetuju dengan Rahmat bahawa sebagai penyiasat, dia mesti memberi pertimbangan sewajarnya terhadap versi jenayah yang disyaki.

Dia kemudian berkata, peguam negara ketika itu, Tommy Thomas memberi kelulusan kepada SPRM untuk mendakwa Najib dan Arul Kanda pada 10 Dis 2016.

Rahmat: Dalam kes ini, mengapa Thomas mengeluarkan persetujuan untuk mendakwa jika siasatan belum selesai?

Haniff: Keterangan Najib telah diambil sebelum ini (6 Dis) dan kita tahu versinya.

Rahmat: Saya katakan bahawa anda tidak memberinya siasatan yang adil kerana Thomas telah memberi kelulusan untuk mendakwa walaupun siasatan tidak selesai.

Haniff: Saya tidak setuju.

Haniff berkata, SPRM menahan Najib pada 10 Dis 2016, sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Najib sedang dibicarakan kerana menyalahgunakan kuasa manakala Arul Kanda sedang dibicarakan kerana bersubahat dengannya dalam kes pindaan laporan itu.

Pendengaran di hadapan hakim perbicaraan Zaini Mazlan ditangguhkan ke 18 Ogos.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.