Pasar Buku UMS-DBP Usaha Perkukuh Budaya Membaca, Memperkasa Industri Perbukuan Di Sabah –


KOTA KINABALU – Penganjuran Pasar Buku UMS-DBP anjuran bersama Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS), Perpustakaan UMS, dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan usaha berterusan penggiat-penggiat industri buku di Sabah bagi mengukuhkan budaya membaca masyarakat tempatan dan memperkasakan industri perbukuan di Sabah.

Pengarah DBP Cawangan Sabah, Aminah Awang Besar berkata, kecanggihan teknologi kini dan peralihan gaya hidup generasi baru menyebabkan berlaku anjakan budaya membaca daripada membaca bahan bacaan fizikal kepada bahan bacaan digital.

“Cabaran adalah kepada penerbit-penerbit buku untuk memasarkan buku-buku bercetak kerana terdapat alternatif bahan bacaan yang lebih murah, interaktif dan mudah dibawa yang menjadi pilihan masyarakat seperti e-buku, e-majalah, e-jurnal, podcast, dan lain-lain.

“Justeru, program Pasar Buku UMS-DBP ini diyakini dapat membugar kembali kecintaan masyarakat terhadap bahan bacaan bercetak, selain menyajikan bahan bacaan yang bermutu serta memberikan manfaat positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis perasmian program tersebut yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Prof. Madya Datuk Dr. Ramzah Dambul di Perpustakaan UMS.

Aminah turut memberitahu, selain aktiviti memasarkan buku, Pasar Buku UMS-DBP turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian lain seperti Sembang Sihat, Bengkel Penulisan Kreatif, Bicara Buku, Pelancaran Buku Baharu, Ceramah Motivasi, Kempen Derma Darah, dan banyak lagi.

Terdahulu, Pengarah Penerbit UMS, Prof. Madya Dr. Asmiaty Amat berkongsi tentang pengalaman beliau menghadiri Pesta Buku Frankfurt dan Pesta Buku Antarabangsa Indonesia, yang rata-rata karya kanak-kanak dan popular menjadi tumpuan pembeli buku dan hak cipta di kedua-dua negara tersebut.

“Ketika berada di Frankfurt, karya kanak-kanak sangat laris dibeli oleh penerbit-penerbit dari negara-negara Arab, Turki dan Timur Tengah, sementara di Jakarta pula, penerbit-penerbitnya cenderung menerbit karya popular sebagai tarikan kepada golongan generasi muda atau gen-Z yang lebih meminati bahan bacaan ringan yang popular.

“Cuba bayangkan, sebuah buku berkisahkan rambut yang gugur di lantai berjaya dijadikan cerita dan dibukukan, dan menurut wakil dari penerbit Gramedia, gen-Z lebih gemar membeli buku sedemikian,” katanya.

Asmiaty turut menyeru rakan-rakan penulis dan akademik untuk cuba menghasilkan karya yang dapat menarik minat pembaca dari generasi muda atau gen-Z dan pembaca umum selain daripada pelajar UMS.

“Saya percaya kepakaran akademik yang dimiliki oleh rakan-rakan penulis boleh dikongsi dan dihasilkan dalam bentuk karya yang menarik,” ujar beliau.

Pasar Buku UMS-DBP yang berlangsung sehingga 27 November ini melibatkan 9 pempamer lain selain Penerbit UMS antaranya Penerbit UMK, Penerbit USM, Penerbit UUM, Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei, The Biblio Press, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Bank Rakyat, Hospital UMS, dan UMS Investment.

Hadir sama pada acara perasmian tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dan Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md. Salleh.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.