Pelajar Di Kawasan Terpencil Dapat Perhatian Petronas


NABAWAN: Seramai 120 pelajar di Pensiangan dan mereka yang bersekolah di kawasan terpencil di negeri ini menerima barangan keperluan persekolahan dan kit kesihatan sumbangan Yayasan Petronas di bawah Program Back to School (BTS) 2021.

Antara pelajar yang menerima sumbangan itu adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia, Nabawan, SK Salarom, SK Pekan Nabawan, SK Tetagas, SK Sibangali dan SK Salilaran yang terletak di pedalaman Sabah.

Setiap pelajar menerima dua unit pelitup muka yang boleh diguna semula, tuala kecil, sekotak sabun kertas beg sekolah, botol air, buku nota aktiviti, bekas alat tulis, dan dua set pakaian seragam sekolah serta sepasang stoking dan kasut.

Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup melalui wakil-wakil sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah Nabawan, di sini semalam.

Turut hadir ialah Ketua Operasi, Petronas Sabah dan Labuan, Jasper Diego.

Arthur, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan menyatakan penghargaan kepada Yayasan Petronas atas  sumbangan itu.

“Sumbangan sebegini sedikit sebanyak akan membantu meringankan beban keluarga pelajar yang kurang berkemampuan di daerah ini,” katanya.

Secara keseluruhan, seramai 3,750 pelajar sekolah rendah dari 132 sekolah di Sabah dan 200 pelajar dari 17 sekolah di Labuan telah menerima sumbangan BTS 2021.

Untuk tahun ini, seramai 21,000 pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan mendapat bantuan di bawah program BTS 2021 di seluruh negara.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *