PEMBINAAN PARIT BERNILAI RM400,000 SELESAIKAN MASALAH BANJIR KG RANAP


KIULU: Penduduk Kampung Ranap Kiulu bakal menarik nafas lega apabila masalah banjir yang dihadapi ketika hujan lebat akan berakhir.

Ahli Parlimen P170 Tuaran merangkap caretaker Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, sistem perparitan sepanjang 180 meter sedang giat dibina membabitkan peruntukkan sebanyak RM400,000.

“Selepas kejadian banjir besar yang melanda masjid dan beberapa rumah di kampung Ranap Mei lalu, saya telah menyediakan peruntukan ini bagi mengelakkannya daripada berulang lagi.

“Sistem perparitan konkrit ini dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat minggu dari sekarang,” katanya.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian selepas ditemui semasa membuat tinjauan pembinaan perparitan itu di sini, hari ini.

Beliau yang juga calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Kiulu turut merakamkan terima kasih kepada penduduk yang sudi memberi kebenaran perparitan itu dibina di atas tanah mereka.

“Bagi saya projek ini berimpak tinggi kerana ia juga bakal mengubah wajah Pekan Kiulu. Selain menyelesaikan masalah banjir Kampung Ranap, ia juga mengubah aliran air daripada perparitan yang sedia ada di Pekan.

“Maksudnya, parit-parit yang ada seperti di hadapan SMK Tun Fuad Stephens akan ditimbus sekali gus membolehkan kita meluaskan pembangunan di sana,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Madius turut menegaskan bahawa pelaksanaan projek itu juga menafikan tuduhan liar pihak pembangkang yang mengatakan kerajaan Warisan Plus hanya sebagai bapa pengumuman.

“Ini adalah bukti bahawa kita bukan sekadar umum-umum, tapi ini sedang dalam pelaksanaan. Kelulusan peruntukkan sejak pada Jun lalu,” katanya.-http://beritasabah.com





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *