PENGGUNAAN DRON, BANTU ATM MANTAP PEMANTAUAN OP PASIR, OCP DARATAN


LAHAD DATU: Operasi pemantauan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Felda Sahabat sehingga Tambisan, Tungku dekat sini, lebih efektif dan dimantapkan lagi melalui  penggunaan peralatan teknologi tinggi, iaitu dron.

Panglima 13 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Abdul Razak Hussain berkata dua pasukan penugasan dron telah ditempatkan bagi menjalankan pemantauan dalam Op Pasir pesisir pantai dan Operasi Cegah Pati (OCP) daratan, sepanjang kira-kira 80 kilometer di kawasan itu.

“Pasukan dron ini ditugaskan mengawasi kawasan terutamanya di laluan yang jauh (hutan sekunder) dan tidak boleh dilalui termasuk kawasan paya.

“Team (pasukan) dron ini banyak membantu operasi yang dijalankan bersama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) ketika ini,” katanya ketika ditemui di Pos ATM Tanjung Labian, Tungku dekat sini, hari ini.

Abdul Razak berkata pengukuhan pemantauan itu bagi memastikan tiada aktiviti kemasukan penyeludupan, penyusupan pendatang haram mahupun jenayah rentas sempadan.

Menurutnya, Op Pasir pesisir pantai dimulakan sejak kes Op Daulat pada 2013 sehingga kini bermula dari kawasan Felda Sahabat sehingga Tambisan, Tungku dekat sini, dengan lapan pos diwujudkan.

Beliau berkata pewujudan OCP Daratan diselaraskan ESSCom membolehkan pemantauan serta kawalan berganda dilakukan, selain perluasan pemeriksaan serta pemprofilan kawasan penempatan sedia ada, dalam usaha menangani masalah pendatang haram.

Konsep atur gerak OCP Daratan di Felda Sahabat hingga Tambisan merupakan gabungan rondaan bersama ATM, Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta polis bantuan Felda (trup ronda serta anjing pengesan) di lokasi-lokasi panas pendaratan migran pendatang dan penyeludupan. – Bernama





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *