Peniaga Dakwa Ditipu Penganjur, Kerugian Hampir RM190,000


KOTA KINABALU: Sekumpulan peniaga mendakwa terpedaya dengan syarikat penganjur sebuah acara dan konsert yang kononnya menampilkan barisan artis popular.

Peniaga, Mobin Majid, 43, berkata, mereka berasa tertipu dengan penganjur sebuah acara dan konsert hiburan yang sepatutnya berlangsung pada bulan Ogos lalu.

“Ada antara kami sanggup bergadai emas untuk membayar sewa tapak gerai jualan tapi, tidak sangka kami ditipu,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing kelmarin.

Mobin berkata, lapan peniaga tampil membuat laporan polis pada hari ini bagi meminta pihak polis mengambil tindakan dan menyiasat syarikat penganjur yang dipercayai menipu mereka.

Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 70 peniaga terlibat namun, setakat ini hanya lapan orang sahaja yang tampil membuat laporan. Selebihnya, mungkin akan menyusul kemudian.

Katanya, acara itu sepatutnya berlangsung dari 27 Ogos hingga 4 September lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) namun, ia terpaksa ditunda atas sebab-sebab tertentu.

Kemuncak acara itu adalah konsert yang menampilkan barisan artis terkenal tanah air dan artis terkenal dari negara jiran, Indonesia.

Walau bagaimanapun, sudah hampir hujung bulan November, syarikat penganjur tidak sekalipun menghubungi peniaga-peniaga bagi menjelaskan status penganjuran acara berkenaan.

“Kami sendiri tertanya-tanya jika acara itu ditunda atau telah dibatalkan. Kami langsung tidak dihubungi oleh penganjur. Kami telah cuba menghubungi individu terlibat dan datang ke rumahnya tapi, kami tidak dilayan dengan baik.

“Pembayaran penuh telah dibuat melalui transaksi bank oleh semua peniaga jadi, jika acara itu dibatalkan, penganjur seharusnya mengembalikan semula bayaran yang telah dibuat oleh peniaga.

“Ada yang menyedihkan, ada antara kami terpaksa bergadai barang kemas untuk membayar sewa tapak bagi acara selama sembilan hari itu. Kadar sewa bermula dari RM2,700 hingga RM10,500 bergantung kepada keluasan tapak,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Sabah, Jerry Jaimeh berkata, laporan polis telah dibuat oleh peniaga-peniaga di beberapa daerah sebelum ini namun, tiada jawapan hasil siasatan yang telah dibuat. Maka, hari ini mereka membuat laporan polis sekali lagi.

Di pihak MHO, unit guaman MHO akan mengeluarkan surat bagi meminta polis menjelaskan status siasatan laporan yang telah dibuat sebelum ini. Difahamkan pegawai penyiasat sepatutnya memaklumkan hasil siasatan kepada pengadu dalam tempoh 14 hari tapi, pengadu tidak dimaklumkan sebarang perkembangan tentang kes berkenaan.

“Sekiranya kes ini tidak dapat disiasat mengikut kes jenayah, MHO akan bantu bawa kes ini kepada Mahkamah Sivil bagi membantu peniaga-peniaga yang terpedaya ini,” katanya.

Secara keseluruhan, anggaran kerugian yang terlibat mencecah RM190,000 kerana setiap lot tapak jualan berharga RM2,700.

Bagi Nur Qistina Alisyah Abdullah,36, beliau menafikan penglibatannya dengan syarikat penganjur kerana sebarang pembayaran oleh vendor dan tiket konsert tidak dikendalikan olehnya.

 





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.