Penunggang motorsikal mati kena gilis 4 x 4 di Lahad Datu


Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 28 Jalan Lahad Datu-Tawau, semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, mangsa berusia 30-an terbabit yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Z800 dikatakan bergerak bersendirian dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu.

Bagaimanapun, ketika sampai di lokasi kejadian, sebuah kenderaan yang berada di hadapan mangsa memperlahankan kenderaan secara tiba-tiba sehingga memaksa mangsa turut memperlahankan motosikalnya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan mendapati, sebuah lagi motosikal jenis Honda CBR 954 yang datang lagi arah belakang dipercayai tidak sempat mengelak dan merempuh motosikal mangsa.

Katanya, kejadian mengakibatkan mangsa terjatuh ke atas jalan bertentangan sebelum digilis sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Manakala pemandu Toyota Hilux dan penunggang motosikal Honda CBR pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rohan berkata, siasatan awal polis mengesyaki kejadian dipercayai berpunca akibat kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaan masing-masing dengan baik.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis memohon saksi kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Rasul di talian 089-881255 sambungan 414 untuk membantu siasatan lanjut,”katanya.

Sementara itu, Rohan menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dalam keadaan selamat dan berhemah.

Katanya, pengguna jalan raya diharap tidak cuai ketika memandu serta mementingkan keselamatan pengguna lain. – Asia Times





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *