Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, rampasan dadah itu dilakukan di kawasan Bandar Sri Indah pada Selasa lalu, kira-kira jam 6 petang.
Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berbangsa Cina berusia 53 tahun turut ditahan dalam rampasan yang dilakukan hasil maklumat risikan polis itu.
Suspek ditahan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda dan hasil pemeriksaan menemukan bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 2076.66 gram.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek dijalankan dan didapati suspek positif dadah jenis syabu.
“Suspek yang juga seorang penganggur mempunyai empat rekod jenayah dadah dan empat rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Serbuan itu dilakukan oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau
Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, usaha mengesan saki-baki rangkaian pengedaran dadah juga sedang giat dijalankan.
Pihak polis ingin menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah merupakan satu kesalahan disisi undang-undang dan pihak polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk bersama-sama membanteras kegiatan ini.