Sabah Terima Pelaburan Bernilai RM2.3bilion Dari Syarikat Korea


Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Sabah menjadi lokasi pertama pembinaan kilang kerajang tembaga untuk pengeluar bateri kenderaan elektrik (EV) syarikat Korea Selatan, SK Nexilis.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, pelaburan bernilai RM2.3 bilion itu dijangka akan mewujudkan 400 peluang pekerjaan.

“Saya difahamkan kilang ini bukan mengeluarkan kerajang tembaga biasa sebaliknya, ia akan menghasilkan kerajang setebal 5 mikron iaitu 20 kali lebih nipis daripada kertas A4 dengan lebar seluas 70km.

“Saya berbangga kerana negeri ini dipilih untuk menempatkan kilang tersebut. Kami percaya kerjasama ini merupakan langkah ke arah inovasi dan pembangunan industri di negeri ini. Ini juga akan membuka lebih banyak peluang perniagaan antara Sabah dan Korea Selatan.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya memberi jaminan kepada syarikat SK Nexilis bahawa kerajaan komited untuk menyokong dan membantu mereka menerusi kerjasama ini.

“Kami akan mengumpul pasukan bagi membantu memastikan pelaksanaan projek ini di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) sentiasa berjalan lancar,” katanya ketika Majlis Makan Malam bersama Syarikat SK Nexilis, Korea Selatan, di sini semalam.

Joachim berkata, kerajaan negeri juga telah menubuhkan satu badan pelaburan iaitu Invest Sabah Bhd. Ia berperanan sebagai pusat sehenti bagi memberi khidmat rundingan untuk semua aktiviti pelaburan di Sabah. Badan itu juga akan memantau dan menyelenggara semua projek pelaburan yang dilaksana di Sabah.

Katanya, Invest Sabah juga akan mempromosikan Sabah sebagai lokasi pelaburan yang strategik di Malaysia dan juga Asia Tenggara.

Kilang tersebut dijangka mampu mengeluarkan kerajang tembaga sehingga 50,000 tan setahun.

Syarikat SK Nexilis adalah peneraju global teknologi pembuatan kerajang tembaga bagi bateri dan syarikat ini mempunyai reputasi industri yang baik.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *