Saksi Nafi Ada Konspirasi Rosak Reputasi Ebit Lew


TENOM: Saksi pendakwaan, Mohd Fairuz Abu,37, nafi wujud konspirasi untuk merosakkan reputasi Ebit Lew.

Mohd Fairuz memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela, Ram Singh yang mencadangkan bahawa beliau dan Firdaus Wong telah berkonspirasi untuk merosakkan reputasi tertuduh.

Selepas laporan polis dibuat oleh mangsa, Mohd Fairuz atau dikenali sebagai Akhi Fairuz Al-Jengkawi tidak lagi menyiarkan tentang isu ini dalam laman media sosial.

Namun, beliau mendakwa Firdaus Wong masih lagi menyiarkan berkaitan kes tersebut dalam laman media sosial.

Beliau berkata demikian semasa sesi pemeriksaan balas oleh peguam bela, Ram Singh di Mahkamah Majistret hari ini.

Kemudian semasa pemeriksaan semula pihak pendakwaan, Mohd Fairuz maklumkan mahkamah bahawa semasa laporan polis dibuat di Bukit Aman, beliau menemani mangsa dan suami sebagai tanda sokongan serta untuk beri keterangan kepada pihak polis.

Apabila Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria meminta penjelasan bahawa bagaimana saksi dan Firdaus Wong mengatur (perjalanan) mangsa ke Bukit Aman.

Mohd Fairuz menerangkan bahawa beliau dan Firdaus Wong meminta peguam Multiracial Reverted Muslim (MRM) untuk mendapatkan maklumat mangsa dan suami agar dapat membeli tiket kapal terbang.

Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di Tenom antara Mac hingga Jun 2021.

Justeru, beliau didakwa dibawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

Sementara itu, Ebit diwakili Peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Timothy Daut.

Esok dijangka dua lagi saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan apabila perbicaan disambung semula pada 9.30 pagi.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.