‘Saya Minta Maaf Kepada Masyarakat Cina’ – Shafie


TENOM: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dengan rendah hati menyatakan permohonan maaf terhadap masyarakat Cina atas penggunaan perkataan yang tidak sesuai semasa berkempen di Putatan baru-baru ini.

Katanya, beliau agak emosional semasa menyentuh tentang ketidakprihatinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam melantik menteri daripada masyarakat Tiong Hua.

Beliau berkata, apa yang diperkatakan dalam ceramah tersebut telah disalah tafsir dan ditularkan dalam media sosial bagi membangkitkan kebencian dalam kalangan masyarakat berbangsa Cina terhadap Warisan.

“Saya sangat konsisten dalam perjuangan saya untuk membantu semua bangsa tanpa mengira sama ada mereka Cina, India mahupun Murut.

“Kita berkhidmat untuk semua kaum dan saya langsung tidak berniat menyakitkan hati mana-mana kaum dengan penggunaan perkataan yang dianggap menghina itu,” katanya selepas Program Jelajah Presiden di Parlimen Tenom, hari ini.

Menurut beliau, diharap masyarakat tidak silap tafsir tentang apa yang cuba disampaikan. Itu bukan dilakukan dengan niat melukakan hati mana-mana kaum.

Sebagai parti berbilang kaum, Warisan sentiasa mengambil kira pandangan dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh semua kaum sama ada Melayu, Cina atau Murut.

“Mungkin saya agak emosional dalam perjuangkan nasib masyarakat Cina yang dipinggirkan oleh kerajaan GRS. Sehingga kini, tiada pemimpin Cina dilantik sebagai menteri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, dalam kesibukan berkempen jangan sekali-kali menimbulkan politik bersifat perkauman di Sabah.

Rakyat di negeri ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni dan meraihkan kepelbagaian bangsa jadi, jangan semarakkan kebencian berasaskan perkauman dalam berpolitik. Ia hanya akan memecah belahkan masyarakat berbilang kaum yang ada di Sabah.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berpandangan video tular itu dibuat kerana pihak lawan sudah kehabisan isu untuk menyerang Warisan maka, mereka timbulkan isu membabitkan perkauman.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.