Segera Bentang RUU Anti Lompat Parti Di Sabah – Shafie Apdal


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu segera membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, tempoh yang mencukupi diperlukan bagi membolehkan penguatkuasaan Undang-Undang Anti Lompat Parti di peringkat negeri dapat dilakukan.

Di peringkat Dewan Negara semalam telah diluluskan dan menunggu undang-undang itu diwartakan sebagai akta sebelum dikuatkuasakan.

Maka, pelaksanaannya perlu bersekali dengan pelaksanaan di peringkat negeri-negeri bagi memastikan tiada lagi isu lompat parti selepas pilihan raya yang akan datang.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, jika semua wakil-wakil parti mengundi bagi meluluskan RUU Anti Lompat Parti itu di peringkat persekutuan maka, kenapa tidak boleh mengundi di peringkat DUN.

“Oleh itu, saya berharap Ketua Menteri dan kerajaan negeri akan membentangkan RUU ini bagi menyelesaikan isu lompat parti. Kita perlu memastikan tindakan lompat parti tidak berulang,” katanya semasa siaran langsung ‘Let’s Talk’ dalam laman Facebook semalam.

Mengulas lanjut katanya, keadaan yang berlaku semasa kerajaan Warisan dibentuk tidak melibatkan pergerakan melompat secara bersendirian sebaliknya, ia membabitkan keseluruhan parti.

“Semasa UPKO berjumpa saya, mereka datang sekumpulan dan bukan secara individu, hanya kemudian baru ada ahli-ahli yang datang sertai kita secara individu dan mereka tidak ditawarkan sebarang imbuhan.

“Di bawah Perlembagaan, gabungan parti dibenarkan dan keadaan yang berlaku itu tidak melanggar undang-undang yang ada. Namun, ada pihak menyatakan kerajaan Warisan tidak sah kerana menerima wakil rakyat yang melompat.

“Harus diingat, UPKO datang sebagai sebuah kumpulan parti dan bukan secara individu,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.