Semua Daerah Catat Bawah 50 Kes Kecuali Kota Kinabalu


KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan kes positif Covid-19 yang terendah sejak 22 Julai dengan 504 kes dilaporkan hari ini.

Tiada daerah yang mencatatkan kes tiga angka pada hari ini dan 15 daerah menunjukkan penurunan kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, semua daerah mencatatkan kes di bawah 50 kes kecuali Kota Kinabalu yang mencatatkan 60 kes.

Beliau berkata, daripada 504 kes yang dicatatkan, sebanyak 198 kes atau 39.29 peratus merupakan kes saringan bergejala atau kes-kes yang berlaku secara sporadik.

Bagi kes sebegini, punca jangkitan sukar di kenal pasti kerana virus Covid-19 ini sudah berada dalam kalangan masyarakat maka, risiko jangkitan semakin tinggi.

Beliau berkata, 291 kes atau 57.7 peratus kes hari ini adalah kes yang berlaku sepanjang 24 jam yang lalu manakala, selebihnya adalah kes-kes daftar lewat.

Walau bagaimanapun, hanya satu sahaja kes yang didaftar lewat melebihi lima hari.

“Sungguhpun trend penurunan kes harian agak memberangsangkan tetapi kita belum memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 ini.

“Seperti yang diramalkan sebelum ini, kita berada dalam trend ‘yo-yo’, sekejap turun dan sekejap naik. Sikap kita sendiri yang akan menentukan bagaimana trend akan datang ditentukan.

“Oleh itu, pematuhan kepada semua prosedur operasi standard (SOP) secara menyeluruh dan konsisten adalah benteng utama menghindar jangkitan virus ini.

“Memperolehi vaksin yang lengkap bukan sahaja meningkatkan imuniti badan kita tetapi dapat mengurangkan risiko jangkitan dan memastikan kita terhindar daripada kesan teruk virus Covid-19 sekiranya dijangkiti.

“Vaksin boleh menyelamatkan kita dan ahli keluarga kita daripada kematian akibat sakit jangkitan virus Covid-19,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *