Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia, Sabah Tumpas 0-1 Di Tangan JDT


KOTA KINABALU: Johor Darul Ta’zim (JDT) dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menjinakkan Sabah FC 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Turun sebagai pasukan pilihan, skuad Harimau Selatan terlebih dahulu menguji benteng pertahanan tuan rumah pada minit keempat menerusi percubaan deras penyerang sensasi mereka Bergson da Silva, namun bola sekadar melewati palang gol Sabah.

Serangan berterusan JDT akhirnya membuahkan hasil apabila percubaan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-34 dari luar kotak penalti terkena pertahanan Sabah, Rawilson Batuil sebelum bola menerjah jaring.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah Sabah dilihat mula menemui rentak permainan namun terus buntu menembusi kekebalan benteng JDT.

Sebaliknya, pasukan pelawat berpeluang menggandakan jaringan pada minit ke-58 namun sepakan penalti Bergson berjaya dinafikan penjaga gol Sabah, Damien Lim.

Kecemerlangan Damien menyelamatkan sepakan penalti itu menyuntik semangat pemain Sabah yang mula melancarkan serangan.

Peluang terbaik Sabah untuk menjaringkan gol penyamaan hadir pada minit ke-64 namun sepakan percuma Saddil Ramadani berjaya ditepis keluar oleh Farizal Marlias.

Pada minit ke-73, JDT terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan tengahnya, Feroz Baharudin dilayangkan kad kuning kedua.

Feroz sebelum itu mengutip kad kuning pertama pada minit ke-53 susulan terjahan keras ke atas Amri Yahyah.

Namun situasi itu gagal dimanfaatkan Sabah untuk kedudukan 0-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Pengendali Sabah Datuk Ong Kim Swee mengakui kualiti dimiliki pemain JDT menyukarkan anak buahnya namun beliau tetap memuji semangat juang skuad The Rhinos.

“JDT pasukan yang cukup baik tetapi pemain Sabah telah menunjukkan semangat juang yang tinggi.

“Kita tewas dengan jaringan pada babak pertama yang sepatutnya boleh dielakkan. Apapun kita masih ada 90 minit di tempat lawan dan saya harap pemain akan kekal disiplin pada separuh akhir kedua pada 20 November ini,” katanya selepas perlawanan.

Sabah akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim pada 20 November ini bagi separuh akhir kedua Piala Malaysia.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.