Tangkap Gamat Guna Peralatan Tidak Dibenarkan, 7 Termasuk 6 Warga Vietnam Ditahan


LABUAN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan menahan sebuah bot nelayan tempatan yang melakukan aktiviti perikanan tanpa permit yang sah di perairan Labuan.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, semasa menjalankan rondaan rutin, kapal ronda KM Bistari telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan sedang melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 31.2 batu nautika dari Pulau Labuan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit sedang melakukan aktiviti menangkap gamat menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.

Bot yang berpangkalan di Sarawak itu dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama lima kru warganegara Vietnam dan seorang kru warganegara Indonesia berusia dalam lingkungan 20 tahun hingga 44 tahun yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot, nakhoda kapal bersama kesemua kru ditahan.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Penggunaan peralatan yang tidak dibenarkan itu boleh menyebabkan kerosakan pada ekosistem serta pembiakan hidupan laut.

“Komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara.

“Komuniti maritim turut dinasihatkan untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087427999 atau melalui talian kecemasan MERS 999,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.