TINGKAT KESEDARAN MASYARAKAT ELAK PEMBURUAN HARAM HIDUPAN LIAR

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merancang  meningkatkan program kesedaran di kawasan “panas” kerap berlakunya pemburuan haram hidupan liar dalam usaha mengubah persepsi rakyat mengenai hidupan berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata pendekatan seumpama itu dilihat salah satu langkah berkesan yang boleh diambil bagi mengelakkan kejadian sama terus berleluasa.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

“Mungkin masih ramai individu khususnya masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar kurang pengetahuan berkaitan hidupan liar serta kepentingannya.

“Kita mencadangkan agar masyarakat membangunkan program eko-pelancongan di kampung masing-masing untuk menarik pengunjung bagi menjana pendapatan yang mampan dan menghentikan amalan pemburuan haram hidupan liar,” katanya dalam  kenyataan akhbar, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kejayaan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah mematahkan penyeludupan tenggiling bernilai RM8.4 juta di Tamparuli dan Sepanggar, baru-baru ini.

Ketua Polis Sabah Datuk Omar Mammah memeriksa kontena yang mengandungi kotak berisi daging tenggiling di sebuah kilang di Kampung Bontai Tamparuli baru-baru ini. Gambar Fail SNT / Mohd Adam Arinin.

Liew berkata pihaknya bakal mengambil tindakan lebih tegas ke atas individu melaksanakan pemburuan haram hidupan liar di negeri itu.

Menurutnya walaupun penguatkuasaan undang-undang sudah dilaksanakan namun masih terdapat segelintir individu tidak bertanggungjawab melakukan perkara sama untuk mengambil keuntungan.

“Kita menzahirkan kekecewaan dan sedih apabila mengetahui mengenai rampasan tenggiling terbesar dibuat pihak berkuasa minggu lalu. Kementerian saya sudah mengambil banyak langkah untuk menghentikan pembunuhan ini termasuklah meningkatkan taraf pemuliharaan spesies haiwan ini untuk dilindungi sepenuhnya.

“Selain itu, ramai individu yang terbabit dalam banyak kes pemburuan haram juga dikenakan tindakan undang-undang tetapi malangnya, serbuan pada 7 Februari lalu  menunjukkan aktiviti pemburuan haram hidupan liar di Sabah sedang berlaku pada tahap semakin membimbangkan disebabkan rampasan dalam kuantiti besar seumpama itu tidak pernah dibuat sebelum ini,” katanya.

Liew berkata kegiatan haram terbabit harus dibanteras hingga ke akar umbi kerana ia pasti akan memusnahkan spesies hidupan liar di Sabah sekiranya berlanjutan.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyatakan terima kasih kepada orang awam yang banyak menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan sehingga kegiatan haram penyeludupan tenggiling di Tamparuli minggu lalu dapat dipatahkan.

“Tenggiling adalah salah satu haiwan disenaraikan dalam Bahagian 1, Jadual 1 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997. Hal ini bermaksud semua aktiviti termasuklah memburu, memakan, memiliki atau menjual tenggiling atau bahagiannya dilarang sama sekali malahan pesalah boleh berhadapan dengan penalti maksimum apabila disabitkan kesalahan,” katanya. -SabahNews Today