TUJUH INDIVIDU DITAHAN, MEMANDU DIBAWAH PENGARUH ALKOHOL

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Seramai tujuh orang pemandu ditahan kerana positif alkohol pada saringan ujian nafas pertama dalam Ops Mabuk dan Samseng Jalanan di dua lokasi sekatan jalan raya sekitar bandaraya Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pada saringan ujian nafas kedua menggunakan alat EBA2 terhadap ketujuh-tujuh pemandu, seramai empat orang daripadanya positif melebihi paras alkohol dalam darah.

Anggota polis sedang menjalankan Ops Mabuk dan Samseng Jalanan. Gambar SNT/Ehsan Polis

“Operasi selama dua hari itu bermula 9 Februari, sebanyak 125 buah kenderaan pelbagai jenis dan seramai 142 orang diperiksa.

“Pihak polis telah menjalankan pemeriksaan ujian nafas terhadap 22 orang pemandu dengan menggunakan alat SD2 yang disiasat di bawah Seksyen 45B(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan didapati seramai tujuh orang positif melalui saringan pertama.

“Pada saringan kedua mendapati empat daripadanya postitif melebih paras alkohol dalam darah dan disiasat di bawah seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Katanya keempat-empat pemandu tersebut membabitkan seorang perempuan berumur 51 tahun serta tiga orang lelaki berumur 25 tahun, 26 tahun dan 33 tahun.

Antara kenderaan yang di periksa pada operasi selama dua hari berkenaan. Gambar SNT/Ehsan Polis

Sementara itu, Habibi menambah dalam operasi yang sama, pihaknya berjaya mengeluarkan sebanyak 33 keping saman atas berbagai jenis kesalahan.

“Kesalahan yang paling tinggi adalah tidak mempunyai lesen memandu iaitu 11 keping saman,” tambahnya.

Jelasnya penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan pemandu-pemandu mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.

“Usaha penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi mengelak individu memandu semasa di bawah pengaruh alkohol,” tambahnya. -SabahNewsToday