TUN M DAN KU LI POHON AHLI DEWAN RAKYAT TOLAK BELANJAWAN 2021 ESOK


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Dewan Rakyat dipohon untuk menolak Bacaan Kali Ketiga Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 yang dijadualkan esok.

Perkara
itu dinyatakan oleh dua negarawan tanah air, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku
Razaleigh Hamzah dalam satu sidang media bersama, di sini, hari ini.

Mereka
berkata, dengan penolakan Rang Undang-Undang Pembekalan itu, ia boleh
diterjemahkan sebagai penolakan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN)
pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan lemah, dan
tidak mementingkan rakyat.

Menurut
Mahathir, mereka berdua mengharapkan agar Kerajaan sedia ada dapat ditolak, dan
diganti dengan Kerajaan yang lebih kukuh demi masa depan negara.

“Ada
kemungkinan esok, apabila mereka (Ahli-ahli Dewan Rakyat) mengundi untuk bacaan
kali ketiga Bil itu, maka ada kemungkinan Kerajaan akan jatuh.

“Saya
harap mereka yang dalam Dewan Rakyat dapat berhenti memikirkan tentang diri
mereka semata-mata, tetapi mula memikirkan tentang negara. Kita lihat kerajaan
ini tidak mempunyai motivasi untuk membantu rakyat, tetapi hanya memikirkan apa
yang mereka dapat,” kata bekas Perdana Menteri itu lagi.

Dr
Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, mereka berharap agar
Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersikap jujur dan menzahirkan perasaan cinta dan
sayang kepada negara.

Dalam
sidang media itu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata,
beliau dan Tengku Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li mengharapkan
agar status kegemilangan Malaysia sebagai kuasa ekonomi ‘Asian Tiger’ dapat
dikembalikan semula.

“Kami
mahukan negara ini berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara yang
disegani, seterusnya memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi
seterusnya,” katanya lagi.

Tengku
Razaleigh sendiri menganggap kerajaan sekarang tidak mendapat keabsahannya dan
Muhyiddin bukan perdana menteri yang memiliki keabsahan.

Pengerusi
Lembaga Penasihat Umno itu sebelum ini menulis kepada Speaker Dewan Rakyat
Azhar Harun untuk memaklumkan dia
tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 selagi
keabsahan Muhyiddin dan kerajaan PN tidak dibuktikan.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *