UMS-AADK-MBS anjur program Keluarga Bahagia Masyarakat Sejahtera, beri kesedaran bahaya dadah –


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Belia Sabah (MBS) telah mengadakan program Keluarga Bahagia Masyarakat Sejahtera bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya dadah di Masjid Al-Nur, Kampung Rampayan baru-baru ini.

Program kerjasama tiga agensi ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor yang dianjurkan selaras dengan slogan UMS ‘Leading towards Innovative Societies’ yang telah dilancarkan semasa Majlis Perutusan Tahun Baharu 2023 & 100 Hari Naib Canselor baru-baru ini.

Antara aktiviti program ialah forum Keluarga Bahagia Masyarakat Sejahtera yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UMS dengan menampilkan ahli panel terdiri daripada Dekan Fakulti Pengajian Islam UMS, Prof. Dr. Hj. Mohd Dahlan Hj. Abdul Malek, Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan dan Kaunselor, Dr. Wan Anor Wan Sulaiman.

Dalam forum ini. Prof. Dahlan menekankan kepada isu kesihatan mental dan kepentingan psikologi dalam memastikan keluarga bahagia, manakala Dr. Wan Anor memfokuskan kepada bagaimana menangani ahli keluarga yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan juga stigma masyarakat.

Sementara itu, Abqaree Fawwaz pula membincangkan tentang peranan MBS dalam menangani isu tentang penyalahgunaan dadah dalam masyarakat.

Semasa menyampaikan ucapan perasmian, Datuk Kasim berkata program jalinan kerjasama UMS, AADK dan MBS ini merupakan penggerak kepada usaha-usaha pembangunan sosial dan komuniti dalam memastikan ianya memberi impak kepada masyarakat serta memberi ruang kepada pihak UMS serta agensi berkaitan dalam menyumbang kepada masyarakat setempat.

Beliau yakin dan percaya bahawa program yang dianjurkan seumpama ini akan memberi impak yang besar kepada pembangunan institusi keluarga kerana ianya menggabungkan kepakaran daripada khidmat pakar agama, kaunselor dan pakar perubatan.

“Dalam memastikan program seperti ini akan sentiasa berterusan, Fakulti Pengajian Islam UMS akan menjadikan Masjid Al-Nur sebagai rakan strategik untuk aktiviti para pelajar.

“Di samping itu, dalam memastikan setiap keluarga dapat melahirkan keluarga bahagia masyarakat sejahtera, setiap ahli keluarga perlu berpegang kepada kunci ‘Takwa’.

“Apabila semua ahli keluarga memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan ketakwaan, pastinya isu-isu penyalahgunaan dadah dan juga masalah gejala sosial dapat diatasi dan ditangani dengan sebaik mungkin,” katanya.

Datuk Kasim juga turut menyantuni seramai 34 ibu tunggal dan 30 anak yatim dengan menyampaikan sumbangan daripada pihak penganjur.

Turut hadir, Pengarah AADK Sabah, Nani Sikin; Penolong Pengarah AADK Sabah, Dayang Siti Rohani Sedan; dan Pengerusi Masjid Al-Nur, Haji Masri Haji Mansor.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.