UMS dan JKNS komited tingkatkan modal insan keperluan perubatan dan kesihatan Sabah –


KOTA KINABALU: Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berhasrat mengadakan kolaborasi dalam aspek pembangunan modal insan sektor perubatan dan kesihatan di Sabah.

Dekan FPSK,  Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, perkara itu disuarakan dalam satu mesyuarat ketika kunjungan FPSK ke pejabat JKNS, di sini pada Rabu.

“Apabila dilihat dari sudut pembangunan modal insan bagi sektor perubatan dan kesihatan, masih banyak perlu dipertingkatkan bagi negeri Sabah.

“Keperluan ini dilihat penting terutamanya untuk mengisi keperluan doktor perubatan pakar bagi memastikan rakyat Sabah mendapat perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. Rombongan FPSK disertai Timbalan Dekan dan Ketua-ketua Jabatan.

Sementara itu, mesyuarat dipengerusikan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Rose Nani Mudin dan turut dihadiri Timbalan-timbalan Pengarah Kesihatan Negeri serta Ketua-ketua Penolong Pengarah JKNS.

Ujar Saffree, pelbagai perkara telah dibincangkan untuk kerjasama strategik selari dengan matlamat utama JKNS dan FPSK iaitu untuk meningkatkan kualiti tahap kesihatan rakyat Sabah.

“Antara isu dibincangkan termasuk kolaborasi dari segi pembangunan modal insan, perkhidmatan dan penyelidikan.

“Dengan itu, pihak FPSK percaya dengan peluang dan kerjasama erat bersama pihak JKNS, ia akan dapat menyumbang kepada keperluan khusus sektor perubatan dan kesihatan di Sabah,” katanya



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.