UMS Tekad Perbaiki Kedudukan Penarafan Bintang MyRA –


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertekad untuk terus memperbaiki kedudukan penarafan bintang dalam Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Terbaru, Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS telah mengadakan sesi dialog awam MyRA bertajuk ‘6 Stars, The Quality of Being Wise’  oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.

Program tersebut diadakan bagi menetapkan hala tuju dan rangka kerja yang dapat membawa UMS meraih enam bintang pada penilaian MyRA menerusi penyelidikan, inovasi serta hubungan antarabangsa.

Menurut Rosalam, UMS harus memperbaiki mutu penyelidikan sedia ada dan memastikan hasil penyelidikan dan inovasi dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

“Hasil penyelidikan dan inovasi yang kita hasilkan harus memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat dan pembangunan negara. Ia penting untuk mendapatkan trust (kepercayaan) daripada pihak kerajaan, industri dan masyarakat.

“Kita juga perlu memperbanyak lagi hubungan antarabangsa bersama rakan industri dan rakan universiti di luar negara. Ini selari dengan visi UMS untuk menjadi sebuah universiti berinovatif yang bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog awam yang diadakan bersama kakitangan dan para penyelidik UMS di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, baru-baru ini.

Tambah Rosalam para penyelidik UMS perlu menjadi barisan hadapan kepada msyarakat dengan mempraktikkan ilmu, pengalaman serta rasional dalam mencorakkan masa depan negeri ini dan Malaysia, secara amnya.

“Kita mahu bila orang awam dan pelajar datang ke UMS, mereka nampak masa depan yang lebih baik. Kita mahu para graduan kita dapat peluang kerjaya yang baik dan berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih baik.

“Kita semua perlu bersedia untuk berubah dan membawa UMS ke hadapan. Perubahan bukan hanya dari yang dahulu kepada akan datang tapi bagaimana memperbaiki apa yang telah kita hasilkan sebelum ini,” tambahnya.

Pada dialog tersebut, Rosalam turun mengucapkan tahniah kepada para penyelidik UMS yang berjaya mendapat Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) bagi tahun 2022 daripada KPT.

Sebanyak 30 projek penyelidikan UMS berjaya mendapat geran FRGS dengan jumlah keseluruhan RM3,941,722.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.